Langkah Dubai: Nampak sangat Pas paling terdesak
Dalam komplot Langkah Dubai untuk merampas Putrajaya, Pas dilihat paling terdesak mahu menjadi kerajaan, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad.
Ini kerana kata Khalid yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam, parti itu yang mempunyai paling ramai ahli Parlimen dalam Perikatan Nasional (PN) sanggup menawarkan pihak lain untuk menjadi Perdana Menteri.
Tindakan itu kata beliau, menjelaskan sikap Pas yang sebenarnya sangat terdesak untuk berkuasa semula.
“Dalam soal ini saya nampak Pas paling terdesak. Kerusi MP dia ramai tapi dia sanggup untuk beri pada pihak lain untuk jadi PM asalkan dia dapat nak jadi kerajaan. Langkah Dubai ini kononnya nak bagi pada GPS supaya jadi PM. (Tapi) Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg kata buang masa je. Dia orang ingat kita ni bodoh.
“Langkah pertama ialah kamu (Pas) sokong dia (Abang Jo). Bila dah bentuk kerajaan bila-bila masa kalau kamu nak tukar,(kamu boleh lakukan) kerana kamu ada jumlah kerusi yang banyak.
“Tetapi inilah kita nampak Pas paling terdesak, nak sangat jadi kerajaan sampai sanggup beri pada sesiapa sahaja jadi PM asalkan Kerajaan Perpaduan dapat dijatuhkan,” katanya dalam segmen Takde Skrip: Langkah Ke Laut di Facebook Media Perpaduan malam tadi.
Khalid berkata, pembangkang hari ini tidak memahami falsafah di sebalik demokrasi apabila berterusan menghalalkan tindakan mereka sebagai demokratik dan dibenarkan.
Kata Khalid, dalam sistem demokrasi apabila dipilih dan dibentuk kerajaan, maka kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama membangunkan negara dan bukan hanya mencari ruang menjatuhkan kerajaan.
“Pembangkang yang setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong bererti dia mengutamakan kepentingan negara.
“Selesai dah pilihan raya, siapa yang dipilih sebagai kerajaan dia adalah kerajaan. Dia akan berusaha untuk membangunkan negara, manakala pembangkang pula bertindak sebagai semak dan imbang,” ujarnya.
BACA JUGA Blok Borneo takkan cetuskan langkah guling kerajaan
Â