Semua bukan Melayu tak setia, kroni dia je setia – Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggah kenyataan tidak bertanggungjawab Tun Dr Mahathir Mohamad apabila mendakwa masyarakat India di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara ini.
Anwar berkata, bekas perdana menteri itu memang dikenali dengan kenyataan sebegitu, antaranya mendakwa Melayu malas dan kini masyarakat India tidak setia.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, sebagai seorang bekas Perdana Menteri sejak sekian lama, tidak sepatutnya ada kenyataan yang menghina mana-mana kaum di negara ini sama ada majoriti atau minoriti.
“Saya tidak anggap kenyataan Tun Mahathir itu relevan. Itu kenyataan yang tidak bertanggungjawab sebagai seorang mantan perdana menteri sekian lama… kemudian menghina mana-mana kaum, sama ada majoriti atau minoriti.
“Dia memang terkenal (dengan cara begitu). Melayu bagi dia malas melainkan dia, India dan Cina dianggap kurang setia melainkan beberapa kroni dia.
“Kita membantah keras kenyataan itu, sangat tidak bertanggungjawab. Bagi saya semua rakyat yang setia kita harus hormati tak kira mana-mana kaum,” katanya kepada media selepas pelancaran Program Kecerdasan Buatan (AI) untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Sebuah portal sebelum ini melaporkan Mahathir mengeluarkan kenyataan itu menerusi sesi temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.
Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.
Sementara itu Anwar meminta rakyat tidak melayan pemikiran lapuk seperti dilontarkan Mahathir itu yang hanya akan merosakkan negara.
Katanya, beliau nampak kenyataan yang menghina itu sengaja dibuat bagi mengalihkan tumpuan rakyat kepada usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam transformasi negara.
“Saya harap rakyat terutama generasi muda jangan layan pemikiran rosak ini kerana kita harus tumpu kepada usaha mengangkat darjat martabat negara kita,” katanya.
Tegas beliau, masa sekarang adalah waktu terbaik untuk menerapkan nilai yang baik.
“Kerajaan Madani dalam membicarakan mengenai memperbaharui tenaga dan transformasi digital termasuk AI tidak akan pernah melupakan nilai dan akhlak serta jati diri,” katanya.
BACA JUGA Sudah 7 bulan sejak PM luluskan, apa UMS buat dengan RM3 juta?
Â