Buat apa takut, isytihar sahajalah kalau benar
“Berani kerana benar. Kalau hartanya halal, apa nak disegan?,” kata pemerhati dan aktivis politik, Liyana Marzuki mengenai pengisytiharan harta bagi pemimpin politik yang mempunyai kekayaan luar biasa.
Liyana berkata, situasi akan menjadi sukar jika pihak yang dikehendaki untuk mengisytiharkan harta enggan berbuat demikian dan melawan sehingga menyalahkan pihak berkuasa.
Justeru jalan lebih baik adalah turutkan sahaja undang-undang supaya harta diisytihar.
“Makanya, kalau anda atau keluarga dapat notis bawah seksyen 32 Akta SPRM, dinasihatkan isytiharkan saja. Berani kerana benar. Kalau hartanya halal, apa nak disegan?
“Namun kalau melawan, taknak ikut arahan, susah juga kalau nak salahkan penguasa. Kerana kesalahan ini terpakai kepada semua. Tak kiralah marhein atau orang kayangan.
“Undang-undang itu buta, maka turutkan saja. Senang cerita. Kalau lepas isytihar pun, mereka nak kenakan kita, maka lawanlah habis-habisan. Tiada siapa yang akan heran.
“Namun kalau disembunyikan, itu boleh buat orang sangsi. Mana datang kekayaan itu tadi?,” katanya.
Mengambil kira jenayah kolar putih dilakukan pemimpin dan bagaimana mereka bijak melindungi diri, Bank Dunia pada 2009 telah mengeluarkan polisi dipanggil ‘Asset and Interest Declaration’ atau Pengisytiharan Aset dan Kepentingan.
Di Malaysia, kesalahan gagal mengisytiharkan harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), boleh dituduh mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.
“Rasuah oleh ikan bilis setakat minta duit kopi senang ditangkap. Tapi bila kena pada pemimpin politik, atau diktator yang ada, jenuh juga nak mencari bukti. Otak mereka bijak sekali. Sebab pegang jawatan, ramai jadi kaya melalui proksi.
“Dicadangkan di dalam setiap Akta Pencegahan Rasuah negara, dimasukkan klausa yang syaratkan mana-mana orang yang disyaki ambil rasuah atau makan duit haram, untuk isytiharkan hartanya. Mana datang punca kekayaan.
“Permintaan ini juga boleh dibuat kepada ahli keluarga terdekat. Terutamanya kalau ada aduan, mereka turut kaya tanpa penjelasan. Jikalau gagal ishtihar, walaupun dalam rekod harta mereka merata, adalah jadi satu kesalahan,” katanya lagi.
Beberapa nama besar kini dilapor sedang disiasat berikutan kekayaan luar biasa yang dimiliki. Antaranya bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, dan terbaru anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Mirzan.
BACA JUGA Naimah Khalid didakwa atas tuduhan gagal isytihar harta
Â