Cikgu WhatsApp minta duit, bapa menangis tak mampu bayar PIBG RM400
Seorang bapa yang hanya bekerja sebagai penjual putu mayam tidak dapat menahan rasa sebak selepas seorang pemuda bermurah hati untuk membeli kesemua kuih putu mayamnya.
Menerusi video dikongsi pemuda tersebut di TikTok @fs79076, bapa yang dikenali sebagai Khairul berkata, dia sebenarnya sedang buntu memikirkan bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah anaknya yang tertunggak lebih RM400.
Bapa berusia 44 tahun itu berkata, dia tidak mampu melunaskan tunggakan sebesar itu disebabkan sudah lama berhenti kerja, selain menghidap sakit gout yang kronik.
“Saya sedih sebab hari ini anak saya di sekolah menengah minta duit. Cikgu dah ingatkan duit PIBG sekolah RM400 lebih tak bayar.
“Cikgu dah bagi WhatsApp bayaran tertunggak. Sebab saya memang nak bayar anak saya, niat saya hari ini,” katanya sebak.
Ujar Khairul lagi, dia sepatutnya mendapatkan pembedahan untuk sakit goutnya namun terpaksa menangguh hasrat demi mencari rezeki buat keluarga.
“Saya kerja macam ni, berniaga cari rezeki. Kalau saya masuk hospital siapa yang nak bayar rumah, tanggung keluarga semua. Jadi saya tangguhlah dulu rawatan saya tu,” katanya.
Namun apa yang tidak disangka-sangka, tindakan pemuda berkenaan yang menyumbangkan wang sebanyak RM900 kepada bapa berkenaan menyentuh hati ramai.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersimpati dengan nasib bapa itu kerana dia bertungkus-lumus berniaga demi melunaskan bayaran PIBG sekolah anaknya itu.
Ramai juga yang terkejut dan berpandangan agar pihak sekolah mempertimbangkan semula keluarga yang tidak mampu untuk menjelaskan bayaran tertunggak.
“PIBG perlu tengok sesetengah keluarga yang tak mampu, kurangkan beban kalau boleh. Saya yang tengok pun hiba,” komen Anyi.
“Semoga diluaskan rezeki pakcik ni dan keluarga. Anak- anak besar jadi orang berjaya sentiasa dalam rahmat Allah, tak lupa untuk menderma,” komen Sara.
“Bukan ke keluarga susah dikecualikan bayaran PIBG? Ya Allah curahkanlah rezeki kepada Pak Cik ni Ya Allah, amin,” komen Nora.
BACA JUGA Hasanuddin beri peringatan jangan normalisasi aktiviti persundalan