Menu Rahmah suatu inisiatif ikhtiar
Menu Rahmah merupakan suatu inisiatif ikhtiar kerajaan bagi meringankan beban sebahagian rakyat yang terkesan kepada kenaikan harga makanan.
Dalam suasana kenaikan harga barang, segala ikhtiar untuk meringankan beban rakyat wajar dialu-alukan. Usaha ini pula memerlukan kerjasama banyak pihak dan ia bukan suatu perkara mudah. Ia memerlukan kerjasama dan sokongan dari syarikat pasar raya seperti Mydin serta rangkaian restoran mamak.
Kerajaan Perpaduan ditubuhkan melalui proses dan sistem demokrasi. Ia bukanlah sebuah kerajaan diktator yanv boleh memaksa sektor swasta melakukan inisiatif. Ia hanya boleh mengajak kerjasama.
Orang ramai yang memperoleh manfaat daripada Menu Rahmah diharapkan dapat sedikit sebanyak mengurangkan perbelanjaan bulanannya dan sekaligus meringankan beban mereka.
Menu Rahmah ini bukanlah boleh menyelesaikan semua masalah inflasi yang dihadapi oleh rakyat. Tetapi pada satu peringkat dan dalam bentuk sasaran, ia akan dapat membantu. Maka usaha kerajaan ini wajar dihargai dan dipandang secara positif.
Namun bagi pihak yang suka melihat semua benda secara negatif, maka mereka akan mencari sudut-sudut kekurangan Menu Rahmah. Pihak-pihak itu memperkecil-kecilkan usaha ini kerana bukanlah Menu Rahmah tidak bagus tetapi mereka sebenarnya membenci Kerajaan Perpaduan.
Jadi apa saja yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan akan dikecam. Pihak itu sebenarnya golongan yang jenis tidak bersyukur. Ini kerana bukan senang untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang telus dan berusaha untuk kebajikan rakyat.
Harus diingat bahawa Malaysia mengamalkan sistem ekonomi pasaran bebas dan terbuka dengan sedikit kawalan harga bagi barangan-barangan tertentu. Tetapi kerajaan tentunya tidak boleh mengawal semua harga di pasaran.
Ini kerana jika kerajaan secara besar-besaran mengawal harga barangan, maka ia menjejaskan sistem pasaran bebas dan terbuka. Apabila sistem ini terjejas, maka pelaburan tidak akan masuk ke dalam negara. Ketiadaan pelabur luar akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
Pelancaran Menu Rahmah oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Salahuddin Ayub di Mydin
Buat masa ini, sistem pasaran bebas terbuka dengan kawalan-kawalan tertentu adalah terbaik bagi negara-negara di dunia. Ini kerana sistem ini menggalakkan perniagaan, keusahawanan, kreativiti dan inisiatif yang akan menyumbang kepada pendapatan negara melalui cukai dan memberi pekerjaan pada orang ramai. Maknanya, sistem ini mampu mendatangkan pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat.
Tetapi masalahnya bagi sistem ini ialah tidak semua rakyat mempunyai modal untuk berniaga dan tidak semua orang mampu menjadi peniaga dan usahawan. Kebanyakan orang hanya mampu menjadi pekerja makan gaji atau mengambil upah. Peranan mereka amat penting kerana golongan perniagaan dan usahawan perlukan pekerja dalam pelbagai bentuk untuk menjayakan usaha mereka.
Satu lagi masalah penting dalam sistem ini ialah harga barangan boleh naik, iaitu inflasi berlaku atas pelbagai sebab. Harga barang dalam sistem ini ditentukan oleh keadaan permintaan dan bekalan barangan. Iaitu dengan turut mengambil kira faktor monopoli dan kartel bagi kes-kes tertentu.
Sistem ini berjalan dengan sendiri iaitu apabila harga sesuatu barangan naik, maka kuranglah permintaan untuknya. Apabila kurang permintaannya, maka harga akan turun. Tetapi ia menjadi masalah apabila barangan yang terlibat ialah keperluan asas rakyat. Dengan gaji tidak naik untuk menampung inflasi, maka ia membebankan hidup para pekerja.
Memang benar seperti kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyatakan bahawa “by right” (kalau hendak dikirakan), seseorang patut mengelak membeli barangan yang naik harga, sebaliknya hanya membeli barangan yang dia mampu.
Jika ramai orang tidak membeli sesuatu barangan, harganya akan jatuh, kerana begitulah keadaan sistem ini. Para ahli perniagaan dan usahawan pula akan menawarkan barang dengan harga yang sepadan dengan kesediaan penggunanya hendak membeli.
Seperti kata beliau, kalau kerajaan yang menetapkan harga barangan, ia sudah menjadi sistem komunis. Dalam sistem komunis, atau sistem ekonomi yang ditentukan oleh negara, harga barang tidak ditentukan oleh pasaran, tetapi ia ditentukan oleh kerajaan.
Ia merupakan sistem pasaran terkawal dan tertutup. Pengeluaran, pengedaran dan penjualan ditentukan oleh kerajaan. Begitu juga dengan keadaan pasaran pekerjaan. Apabila tidak ada sektor swasta, maka tidak ada usahawan dan tidak ada pemodal. Sistem ini sudah terbukti gagal kerana ia tidak mendatangkan pertumbuhan dan kemakmuran.
Ada pihak yang mentertawakan Rafizi dengan mempermainkan kata “by right” beliau dengan memberi bayangan bahawa seolah-olah kerajaan hendak lari dari tanggungjawab dan janji pilihan raya untuk menurunkan harga barang.
Apa yang beliau menyatakan dalam ungkapan itu sebenarnya memberi gambaran tentang sistem ekonomi yang dipakai oleh dunia. Apabila permintaan tinggi dan bekalan rendah, maka harga akan naik. Tetapi itu tidak bermakna kerajaan tidak akan melakukan sesuatu.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab tentulah pelbagai program dan inisiatif difikirkan secara kreatif untuk membantu rakyat, antaranya adalah Menu Rahmah ini.
Bagi mereka yang warga emas dan tinggal di Kuala Lumpur pada tahun 1970-an mungkin masih ingat terhadap projek Restoran Rakyat. Ketika itu perdana nenteri adalah Tun Hussein Onn dan inflasi sedang melanda negara.
Maka dibinalah sebuah Restoran Rakyat yang agak besar dengan bumbung reka bentuk Melayu di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur iaitu di kawasan persimpangan Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.
Sebagai remaja, saya makan di situ. Ia berharga lebih murah dari restoran luar. Makan di atas dulang seperti di asrama. Kandungannya cukup zat dan sistemnya adalah layan diri. Tempat makannya adalah selesa seperti kantin dan berhawa dingin. Maknanya ia lebih selesa daripada gerai.
Tetapi projek Menu Rahmah ini lebih luas dengan pelaksanaannya di banyak restoran di seluruh negara. Pada waktu sekarang, ia sebagai permulaan. Daripada maklum balas oleh pembeli, program ini pastinya akan diperbaiki.
Sudah tentu hidangan Menu Rahmah ini tidak akan dibeli oleh kebanyakan orang. Mereka yang berasa tidak ada masalah untuk makan di rumah, atau di restoran biasa, maka tidak perlulah menjamah makanan Menu Rahmah. Tetapi Menu Rahmah ini terbuka untuk semua orang.
Istilah Rahmah pada projek ini juga membawa makna besar. Konsep yang dianjurkan oleh perkataan Rahmah lebih besar berbanding dengan jika projek ini dinamakan Menu Rakyat. Rahmah bererti rasa belas dan kasih sayang. Dalam konteks Menu Rahmah, ia bermaksud hidangan yang mengandungi rasa belas kepada rakyat yang terkesan dengan inflasi.
Ada pihak yang mempersoalkan, mengapakah kerajaan tidak beri saja makanan percuma. Menu Rahmah ini bukan untuk orang yang langsung tidak ada pendapatan. Golongan fakir miskin dan gelandangan perlu bantuan tersasar.
Menu Rahmah ini adalah untuk orang ramai yang hendak menjimatkan perbelanjaan bulanannya supaya beban keuangan yang ditanggungnya dapat diringankan.
Tetapi untuk menjayakan Menu Rahmah ini ialah pelaksanaan cekap oleh mereka yang turut serta seperti restoran-restoran. Tetapi pelaksanaan yang baik itu pula perlukan pemantauan dari kerajaan juga. Sementara rakyat, sana ada yang menjadi pembeli Menu Rahmah wajar memberi sokongan positif supaya ia dapat berjaya.
BACA JUGA: Salahuddin ingatlam peniaga tidak kurangkan kualiti Menu Rahmah
Â