Exco Kelantan sampai ke sudah tak jawab soalan Dr Hafidzah

Exco Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud tidak menjawab soalan Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim yang bertanya berapakah kes yang sudah dihadapkan ke Mahkamah Syariah sebelum 16 kesalahan dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dibatalkan Mahkamah Persekutuan.

Hafidzah dalam soalan tambahannya mahu tahu jumlah kes sejak 16 kesalahan tersebut dikuatkuasakan pada 2019 dan bertanya jika tidak ada kes yang dihadapkan ke mahkamah, mengapa ia terjadi.

Bagaimanapun Mohd Asri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, tidak menjawab soalan tersebut, sebaliknya beliau bertanya pendirian Dr Hafidzah berhubung keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan.

“Apa sikap (Adun) Kota Lama terhadap keputusan kes Nik Elin vs Kerajaan Kelantan. Kota Lama setuju atau pun tidak?,” tanya beliau.

Hafidzah kemudian menjawab bahawa penjelasan dibuat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat adalah jelas bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memperkecilkan bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, ia adalah berhubung bidang kuasa yang bertindih dan tidak sepatutnya Mahkamah Syariah mempunyai enakmen yang bertindih dengan undang-undang Mahkamah Persekutuan.

@drhafidzahmustakim

Sidang DUN Kelantan Penggal Kedua Hari ke-2 Sesi Soal Jawab. Soalan tambahan saya berkenaan Berapa kes sudah didakwa di Mahkamah Syariah Kelantan setelah dikuatkuasa pada 2019 & kompetensi Mahkamah Syariah Kelantan #drhafidzahkotalama #KitaBinaBersama

♬ original sound – Dr Hafidzah – Dr Hafidzah

“Saya jelas kes Nik Elin menyaman kerajaan Kelantan adalah tentang isu bidang kuasa Dun Kelantan dalam menggubal undang-undang Mahkamah Syariah.

“Ianya bukan memperkecilkan atau menghapuskan kuasa Mahkamah Syariah. Jauh sekali daripada isu tidak mahu memartabatkan islam

“Bagi saya ia jelas sebagaimana disebutkan oleh Tengku Maimun yang menyebutkan bahawa apa yang terjadi adalah keputusan itu membetulkan, meletakkan kita di landasan yang betul mengikut semangat Perlembagaan,” jawabnya.

Tanpa menjawab soalan berkaitan jumlah kes yang ditanyakan, Mohd Asri mendakwa bahawa kerajaan Kelantan amat kesal dan sedih dengan tindakan seorang muslim yang mencabar seksyen-seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang sudah baik.

Katanya, undang-undang tersebut yang sudah dilaksanakan selama setahun itu sudah mendapat perkenanan dari Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Beliau juga memaklumkan, pada tahun 2022 terdapat 14 kes liwat berlaku, manakala pada 2023 pula terdapat 8 kes liwat.

Namun beliau tidak menyatakan berapa jumlah kes yang sudah dihadapkan ke Mahkamah Syariah membabitkan 16 peruntukan yang sudah pun dibatalkan.

Exco Kelantan itu cuma memberitahu bahawa kes jenayah keseluruhannya pada tahun 2019 hingga 2023 – kerajaan sudah menyelesaikan 1,739 kes daripada 13,377 kes di peringkat Mahkamah Syariah.

Hafidzah kemudian bangkit mencelah, meminta agar Adun kerajaan itu menjawab soalannya yang masih belum dijawab.

“YB Exco belum jawab soalan saya. Khusus dalam kes liwat dan juga kesalahan tentang riba.

“Hikmah daripada pembatalan enakmen di Mahkamah Syariah adalah kerana hukuman di peringkat Persekutuan lebih lama iaitu 30 tahun berbanding hanya 3,6 dan 5 tahun di Kelantan,” tambahnya.

BACA JUGA Wan Saiful pencari sensasi

Â