‘Saya pun biasa banting padi masa muda dulu’
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan dirinya sudah biasa dengan aktiviti menanam padi ketika usia muda.
Beliau menceritakan pengalamannya menerusi program bual bicara Agenda Awani bertajuk ‘Menteri jawab isu padi dan beras’ yang dihoskan oleh Nazri Kahar.
”Saya sendiri banyak membuat lawatan ke tempat-tempat penanaman padi. Kalau di Kedah, di Seberang Perai itu tempat saya bergaul.
”Memang saya biasa pun menanam padi, membanting padi masa muda-muda dahulu.
”Tetapi, saya nak pergi lihat tempat yang dikatakan hasil padinya tinggi iaitu di Sekinchan.
”Apabila saya pergi melawat dengan pegawai dan sebagainya, kita dapati ia mampu menghasilkan antara tujuh hingga 12 tan hasil padi,” katanya sambil menjelaskan tujuh tan itu ketika musim rendah, manakala 12 tan pada musim tinggi.
Menurut Mohamad lagi, faktor berkaitan penanaman padi antaranya adalah pengairan, pembajaan, penjagaan dan benih yang bagus.
”Saya kata cuba kita bawa ‘ala’ (Sekinchan) ini ke tempat yang lain.. boleh atau tidak..
”Kita bermula di Lat Seribu, Simpang Ampat iaitu sempadan Kedah dan Perlis. Memang kita capai 10.4 tan bersih itu.
”Kemudian kita bawa konsep ala Sekinchan itu ke KETARA Besut, Terengganu pula. Daripada empat tan, ianya boleh meningkat kepada tujuh tan,” katanya.
Untuk rekod, KPKM turut menyasarkan kira-kira 150,000 hektar kawasan tanaman padi di seluruh negara menggunakan amalan SMART Sawah Padi Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan menjelang 2030.
Mohamad berkata, jumlah keluasan itu meliputi satu pertiga daripada kawasan penanaman padi seluruh negara yang dianggarkan seluas 600,000 hektar.
Katanya, penanaman padi secara besar-besaran di seluruh negara, akan dapat menampung keperluan beras tempatan terutama bagi negeri yang terjejas dengan perubahan iklim
Selain itu, KPKM juga komited melipatgandakan usaha serta memperluaskan penanaman padi di bawah Program SMART SBB Ala Sekinchan, termasuk di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.
BACA JUGA Guru wanita cabul pelajar direhatkan hingga siasatan selesai
Â