Menu Rahmah kualiti rendah? Jangan cuba timbulkan kesangsian terhadap rakyat

Pakatan Harapan Terengganu menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pas, Dr Halimah Ali yang seolah meremehkan inisiatif Menu Rahmah kerana harganya yang murah, adalah sikap sangat tidak bersyukur.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin berkata, ia secara tidak langsung telah memberi gambaran bahawa makanan murah dianggap tidak berkualiti.

Beliau tertanya tujuan kenyataan itu dibuat ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, sama ada wakil rakyat pembangkang itu mengeluarkan pesanan yang bertanggungjawab atau sekadar iri hati politik selepas Menu Rahmah mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat.

“Apakah usaha murni kerajaan menyediakan makanan murah untuk rakyat mesti diracuni atas iri hati? Puluhan tahun mereka perintah Kelantan tapi tidak ada usaha yang sama mereka cadangkan.

“Apakah ini kenyataan bertanggungjawab atau iri hati politik atas kejayaan penerimaan luas rakyat sehingga sanggup melempar dusta dan meludah racun kesangsian ke atas harapan rakyat?

“Penghinaan hanya kerana makanan ini murah dan dianggap tidak berkualiti adalah sikap sangat tidak bersyukur dan tidak mengikut ajaran Islam. Apakan lagi datangnya dari seorang doktor perubatan yang sepatutnya berilmu,” ujarnya kepada Harapan Daily.

Pada masa sama Ahli Jawatankuasa Pimpinan ANANAH Nasional itu membangkitkan semula keceluparan dua Ahli Parlimen Pas yang pernah melabel ikan kembung sebagai ikan cap ayam.

Baginya, doktor dan para Ustaz Pas yang mempunyai ilmu dalam bidang masing-masing perlu lebih bertanggungjawab ketika membuat kenyataan.

Baca juga: Wanita AMANAH tuntut MP Pas buat permohonan maaf, tarik balik kenyataan

Â