Baru perlawanan peringkat daerah dah berani ‘henyak’ pengadil

Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Kubang Pasu, Kedah bertukar kecoh selepas seorang pelajar lelaki dikatakan cuba memukul pengadil perlawanan pada kejohanan itu.

Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, berlaku pergaduhan antara pemain dua pasukan yang bertanding sebelum sekumpulan pelajar berlari mengejar salah seorang pengadil di padang sebelum menolak pengadil tersebut.

Situasi bertukar panas apabila pengadil naik berang seterusnya cuba mengejar pelajar itu sebelum beberapa pemain daripada pasukan sama cuba menolak, menyepak dan menumbuk pengadil terbabit.

Bagaimanapun, beberapa individu yang berada di lokasi kejadian berjaya meredakan keadaan dan menenangkan pengadil itu.

Sementara itu perkara tersebut kini mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang sedia maklum mengenai insiden terbabit, seterusnya menunggu laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk tindakan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib KFA, Mohd Farhan Ahmad berkata, JPN Kedah sebagai badan penganjur kepada kejohanan itu akan menyerahkan laporan kepada pihaknya sebelum sebarang keputusan diputuskan.

“Ini memberi kesedaran kepada kita bahawa generasi muda sekarang sangat mudah menggunakan kekerasan tanpa mempertimbangkan kesan terhadap pasukan.

“Pihak Jawatankuasa Tatatertib KFA akan memastikan keputusan yang akan dibuat adalah adil dan saksama.

“Mohon pihak lain tidak membuat apa-apa spekulasi sebelum keputusan diumum,” katanya.

BACA JUGA Tren KTMB sejak 2021 disewa khas, tiada minuman alkohol antara syarat ditetapkan

Â