Pan-gon kongsi detik sebak ketika melihat keadaan Faisal

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui cukup sebak dan tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata keadaan Faisal Halim ketika beliau melawat pemain itu di hospital baru-baru ini.

Menurut Pan-gon, insiden yang menimpa Faisal itu sangat menyedihkan selain berdoa agar Faisal cepat pulih daripada kelecuran tahap empat akibat insiden disimbah asid tersebut.

“Kejadian itu adalah satu perkara yang sukar untuk dilupakan. Bukan mudah untuk saya melihat Faisal (dari luar bilik) dalam kesakitan seperti itu dan tiada kata-kata yang boleh saya ungkapkan penderitaan ditanggung Faisal.

“Ketika melawatnya, saya tidak dapat melihat wajah dan badannya (secara dekat) kerana dalam keadaan yang kurang baik dan kami juga tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain.

“Secara peribadi, saya percaya bola sepak sepatutnya menjadi sukan yang selamat dan kita perlu melindungi pemain daripada bahaya,” ujarnya dalam keadaan suara tersekat-sekat selain turut tidak dapat menghabiskan kata-katanya semasa ditanya keadaan Faisal ketika beliau melawat pemain itu di hospital baru-baru ini.

Pan-gon ditemui pada hari pertama sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada Isnin.

Sebelum ini, Faisal mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

BACA JUGA Bakal dapat RM200 sebulan, pemilik kenderaan diesel boleh buat permohonan hari ini