PM lulus RM20 juta beli pam atasi masalah air petani Kelantan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk pembelian 20 unit pam air.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pam air tersebut akan digunakan petani di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

”Beberapa isu penting dibincangkan pada petang tadi antaranya berkaitan peruntukan RM20 juta yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri untuk pembelian 20 pam air.

”Pembelian pam air itu adalah untuk mengatasi masalah air yang dialami para petani di kawasan seliaan KADA.

”Perkara tersebut kini di peringkat tindakan Kementerian Kewangan,” tulis Mohamad di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet kementeriannya yang diadakan di Wisma Tani, Putrajaya.

Dalam mesyuarat sama, Mohamad memaklumkan mereka turut membincangkan mengenai isu usia tekong warga asing yang telah melebihi had ditetapkan.

Katanya, mesyuarat yang berlangsung bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) itu telah memutuskan persetujuan membenarkan tekong warga asing berusia lebih 60 tahun untuk bekerja.

” Pengalaman mereka masih lagi diperlukan untuk meningkatkan hasil pendaratan ikan bagi mencukupkan bekalan ikan untuk kegunaan rakyat.

”Saya turut mengarahkan kepada seluruh warga kementerian saya untuk meningkatkan integriti dan mengamalkan tatakelola yang baik.

”Ia supaya perkhidmatan yang lebih berkesan dapat diberikan kepada golongan sasar, secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi imej kementerian ini,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA Padah terima rasuah lebih RM39,000, empat lagi anggota Kastam didakwa

Â