Ross Ariffin dapat keyboard dari Kementerian Komunikasi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyerahkan keyboard kepada komposer terkenal, Ross Ariffin hari ini.

Fahmi menyerahkan alat muzik tersebut di kediaman komposer yang pernah menghasilkan lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah nyanyian Datuk Aishah itu di Projek Perumahan Fakyat (PPR) Muhibbah.

“Memang Ross minta dan kami kaji, usaha, dan kumpul sedikit dana untuk uruskan pembelian alatan muzik ini,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi turut membantu pemuzik berusia 62 tahun itu mendapatkan kediaman PPR tersebut selepas tersentuh hati mendengar penderitaan hidup Ross yang pernah menjadi gelandangan.

Menurutnya, selepas komposer berkenaan, inisiatif itu akan diteruskan kepada penggiat seni lain seperti Roy dan Zaiton Sameon.

“Ini komitmen saya sebagai Menteri Komunikasi dan ia bukan bantuan ‘one off’. Kami akan terus bantu mereka terutama artis veteran dalam bidang muzik.

“Peluang seperti ini akan cuba dipanjangkan kepada lebih ramai lagi. Roy antara yang menghadapi beberapa kesulitan. Kami akan teliti cara lebih berkekalan.

“Kami tak nak artis veteran hanya diingati ketika zaman keemasan. Kita kena kenang dan terus bantu mereka.

“Zaiton juga antara penyanyi berdepan kesulitan daripada segi isu royalti. Kami ada usaha untuk pastikan Zaiton terus dapat haknya,” katanya.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail.

BACA JUGA Aktivis reformis tidak dilupa, PM Anwar beri sumbangan

Â