Tak hargai subsidi petrol, ada yang lama hidupkan enjin, enggan guna MRT
Oleh AHMAD MURSI
Harga petrol RON95 per liter hari ini: Malaysia RM2.05, Thailand RM6.17, Singapura RM9.47, Indonesia RM4.35. (globalpetrolprices.com).
Tentulah negara lain tak guna Ringgit, tapi perbezaan harga ini menarik minat penyeludup rakyat kita.
Lagi jauh bezanya, lagi besar untungnya. Eloklah kawalan di sempadan dan laut diperketat.
Penyeludup diesel yang kaya raya dulu, sedang mencari talian hayat. Jangan mensubsidi rakyat asing, jangan kayakan penyeludup pengkhianat negara.
Tidak semua boleh menghargai subsidi petrol ini. Ada yang ‘terlebih kaya’ bawa kereta sangat agresif, aircond dipasang melebihi keperluan, hidupkan enjin tetapi tidak berjalan, boleh naik MRT tapi nak naik juga kereta, boleh naik kereta kecil pilih naik kereta besar, boleh naik motor tapi naik kereta juga.
Sebanyak mana petrol dibelanja tidak masuk dalam kira-kira mereka. Kerana secara relatif, harga petrol itu murah berbanding nilai kekayaan yang mereka ada. Merekalah penerima terbesar subsidi.
Tidak kisah petrol itu dibazirkan walhal hampir separuh dari harga itu adalah dana kerajaan.
Makin besar kos petrol mereka, makin besar subsidi kerajaan kena bayar. Tidak semua pengguna begitu, tapi ada. Orang yang tidak terlalu kaya pula mungkin lebih cermat dan berkira-kira.
Ada yang kata: ‘Thailand petrol mahal, tapi makanan murah’. Mungkin sebab kerajaan guna dana negara untuk subsidi petani, bukan ‘bakar’ duit banyak pada subsidi petrol.
Ada juga hasil tanaman yang dijamin harga jualan minimum. Petani pun seronok nak bercucuk tanam. Itu mungkin sebahagian sebabnya.
Tahun 2023, kerajaan ‘bakar’ 13% (RM50 bilion) dari baget (RM388 bilion) negara pada subsidi petrol dan diesel, dana negara banyak dibazirkan dan jumlah ini semakin naik.
Dana sebesar itu boleh dialihkan untuk pertanian, bina infrastruktur, tambah klinik dan doktor, hebatkan lagi pendidikan anak-anak, bantuan tunai untuk rakyat yang memerlukan.
Itu boleh bantu tingkatkan DAYA SAING NEGARA dan agih kekayaan secara lebih adil.
Daya Saing Global kita memang trend menurun sejak sekian lama. 2010 (No10), 2011 (No16), 2012 (No14), 2013 (No15), 2014 (No12), 2015 (No14), 2016 (No19), 2017 (No24), 2018 (No22), 2019 (No22), 2020 (No27), 2021 (No25), 2022 (No32), 2023 (No27), 2024 (No34).
BACA JUGA Walau dimaki hamun, kerajaan Madani terbukti bersifat terbuka
Â