Penghormatan besar buat negara, pertemuan Anwar dan Sheikh Al-Azhar tuai perhatian

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbesar hati menerima kunjungan hormat Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb.

Sheikh Al-Azhar berkunjung ke Malaysia atas undangan pemimpin nombor satu negara itu.

Dalam ucapan di Majlis Ilmu Madani malam tadi, Anwar menyifatkan lawatan khas Sheikh Al-Azhar ke Malaysia sebagai penghormatan besar kepada negara kerana kunjungan seorang tokoh dan imam besar yang dihormati dan dimuliakan oleh dunia Islam.

Beliau berkata, Sheikh Al-Azhar amat dikenali sebagai ketua ilmu yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia Islam sejak sekian lama.

Sementara itu menerusi catatannya di Facebook, Anwar mengingatkan tentang seruan Sheikh Al-Azhar agar seluruh alumni Al-Azhar meneruskan usaha memadamkan api persengketaan sesama Muslim walau dalam apa pun spektrumnya. 

Namun begitu, sekiranya berlakunya pelanggaran hak sebagaimana yang berlaku di Palestin, kekejaman yang tidak boleh diterima, maka ianya wajarlah dipertahankan oleh umat, kata Anwar lagi.

“Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada Syeikhul Azhar yang sudi menerima undangan saya untuk beliau berkunjung ke Malaysia ketika kami bertemu di Kaherah sebelum ini.

“Terima kasih atas doa dan harapan Fadhilatul Imam Al-Akbar dalam majlis ini dan semoga ianya memberi barakah ke atas perkembangan tradisi ilmu Islam di Malaysia,” ujarnya.

Kunjungan Sheikh Al-Azhar selama empat hari ke Malaysia kini mendapat perhatian ramai dan sohor kini di laman carian Facebook.

BACA JUGA Catat kejayaan demi kejayaan, MB kata kerajaan Selangor di landasan tepat

Â