Tiada jawapan daripada Peguam Negara, status representasi Rosmah minta gugur 17 pertuduhan belum diterima

Datin Seri Rosmah Mansor masih belum menerima jawapan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung status representasi ketiga yang dihantar 12 Disember tahun lalu.

Rosmah, 71, menghantar representasi pertamanya untuk mengugurkan 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 3 Mei tahun lalu.

Ia diikuti representasi kedua pada 18 Ogos lalu dan ketiga 12 Disember lalu.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Peguam bela Rosmah, Amer Hamzah Arshad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, pihaknya masih belum menerima jawapan daripada Peguam Negara berhubung ketiga-tiga representasi terbabit.

Sehubungan itu, Amer meneruskan prosiding dengan mengemukakan hujahan dalam permohonan Rosmah untuk menggugurkan tuduhan dengan menegaskan pertuduhan dihadapi anak guamnya adalah tidak berasas.

Beliau berhujah, tuduhan itu tidak mempunyai butiran lengkap, sedangkan objektifnya adalah untuk memberi notis kepada anak guamnya, selain maklumat kesalahan tidak dinyatakan menjadikan ia (tuduhan) tidak berasas.

Menurutnya, terdapat pertindihan dalam tuduhan berkenaan, iaitu anak guamnya dituduh melakukan kesalahan yang sama sebanyak dua kali.

Jelasnya, pendakwaan mencipta sebanyak mungkin pertuduhan sebagai set fakta yang sama, sedangkan ia tidak adil dan tidak berperlembagaan.

Hakim K Muniandy kemudiannya menetapkan 23 Ogos ini bagi pihak pembelaan menyambung hujahannya.

BACA JUGA Kes seleweng diesel berkurang, rampasan turun 87 peratus, kata menteri

Â