Pengundi DUN Sungai Bakap pilih wakil rakyat baharu hari ini

Seramai 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Majoriti pengundi terdiri daripada mereka yang berusia 21 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 9,598 orang, diikuti 8,187 orang (30 hingga 39 tahun) dan 6,928 orang (40 hingga 49 tahun).

Seterusnya, kumpulan pengundi berusia 50 hingga 59 tahun berjumlah 5,656 orang manakala 3,610 orang (60 hingga 69 tahun), 3,134 orang (18 hingga 20 tahun), 1,658 orang (70 hingga 79 tahun) dan 508 orang (80 tahun dan ke atas).

DUN Sungai Bakap ialah satu daripada tiga DUN di bawah kerusi Parlimen Nibong Tebal.

Pertembungan satu lawan satu menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), seorang bekas pendidik, Dr Joohari Ariffin berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yang dicanang memiliki sijil ISO 14001.

Hanya Abidin yang akan mengundi hari ini iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri memandangkan Cikgu Joohari adalah pengundi di DUN Sungai Acheh, juga di bawah Parlimen Nibong Tebal.

Lebih 600 anggota polis ditugaskan menjaga keselamatan dan kawalan lalu lintas manakala sebanyak 552 petugas SPR digerakkan untuk membantu melancarkan proses pengundian.

BACA JUGA Catat rekod baharu, ahli Dewan Rakyat Britain diwakili 40 peratus wanita

Â