Gabungan Perpaduan hormat suara pengundi, terima kekalahan – PM
Gabungan Kerajaan Perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, beliau dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan yang sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan MADANI.
“Kerajaan MADANI menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Justeru kata Ahli Parlimen Tambun itu, dengan dasar dan komitmen yang jitu, gabungan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baharu negara yang sedang berjalan.
Semalam, Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kerusi Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang memperoleh 10,222 undi.
BACA JUGA Kon Yeow akur kekalahan di Sungai Bakap, dedah punca PH tewas