2 hari sebelum ditemui, penduduk didakwa buat upacara ‘Miring’ mohon Prebet Syafiq ‘dipulangkan’
Misteri kehilangan Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim selama 19 hari, yang kini telah ditemui terus menjadi tanda tanya banyak pihak.
Di media sosial, beberapa akaun mendedahkan bahawa dua hari sebelum Prebet Syafiq ditemui pasukan penyelamat, penduduk kampung telah mengadakan satu upacara ‘Miring’ dipercayai untuk mencari anggota yang hilang itu
Upacara ‘Miring’ merupakan adat kepercayaan etnik Iban untuk berhubung atau berkomunikasi dengan alam ghaib.
Menerusi rakaman beberapa video dan keping gambar yang dimuat naik di Facebook, upacara dilakukan waktu siang di kawasan Bukit Pulau Burung, Limbang, Sarawak diketuai oleh Tuai Rumah (Ketua Kampung) Ungi serta penduduk Kampung Melaban Ulu pada 4 Julai lalu.
Seorang pengguna Facebook Syl Via, menterjemahkan secara ringkas apa yang disebut Tuai Rumah tersebut.
“Kami tak marahkan kau orang (makhluk halus). Kami minta kasihanilah orang kami. Kembalikan dia. Jangan disimpan dia,”.
Kongsi Syl Via, upacara Miring ini tidak diketahui banyak pihak, malah tidak dilaporkan oleh media-media.
Dikatakan, sebelum upacara diadakan, Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui jalan buntu. Anjing yang dibawa juga hanya berpusing di satu tempat seolah-olah Prebet Syafiq berada di situ.
“Anjing yang dibawa enggan kemana-mana hanya berpusing di satu kawasan dan memberi signal bahawa Prebet Syafiq berada di situ.
“Jalan terakhir sebelum operasi SAR ditamatkan, meminta bantuan penduduk tempatan. Khidmat Manang (pawang) Iban digunakan membuka jalan untuk Prebet Syafiq diiringi doa ahli keluarga, kawan-kawan pasukan dia dan rakyat semua,” ujarnya lagi.
Dalam video terbabit, kelihatan peralatan untuk miring turut disediakan oleh penduduk kampung dan Tuai Rumah sedang meniup sumpit.
Selepas 17 hari operasi pencarian diaktifkan, Muhammad Syafiq yang dilaporkan hilang sejak 18 Jun lalu ditemui selamat pada 6 Julai, pukul 11.29 pagi.
Anggota berasal dari Baling, Kedah itu ditemui bersama peralatan dan senjata, namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.
BACA JUGA Jejambat Bandar Saujana Putra bagi manfaat 4,000 penduduk