“Anak saya dah berjalan semula”, kisah adik Rayyan dibantu Steven raih perhatian
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Keong menuai perhatian ramai apabila berkongsi perkembangan terkini seorang kanak-kanak dikenali sebagai “adik Rayyan” yang pernah dibantunya tahun lalu kerana lumpuh.
Adik Rayyan yang dahulunya terdesak memerlukan duit untuk pembedahan, kini sudah kembali pulih dan boleh berjalan.
Steven berkata, beliau menggunakan duit poketnya sendiri sebanyak RM20,000 bagi membolehkan Rayyan yang ketika itu hanya terbujur kaku menjalani pembedahan segera.
Katanya, bapa kanak-kanak itu tidak berkemampuan memandangkan hanya bekerja di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) manakala proses mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib pula memakan banyak masa.
“Rayyan bukan anak saya tapi hati saya rasa pilu dan perit, sebab dia lebih kurang sebaya dengan anak saya. Jadi saya faham sangat perasaan seorang bapa. Ketika itu saya timbalan menteri.
“Tapi nak guna peruntukan kerajaan tak dan sebab ada proses dan garis panduan tertentu. Nak selamatkan nyawa tak boleh nak tunggu proses bagai.
“Jadi saya kasi teruih RM20,000 dari poket sendiri untuk tanggung kos pembedahan. Selepas pembedahan, saya biaya kos fisioterapi adik Rayyan selama setahun.
“Saya habaq kat ayah dan ibu Rayyan jangan risau pasal duit, fokus saja untuk berubat buat anak mereka,” kongsinya.
Tambah Steven, selepas setahun berlalu, beliau menerima berita gembira adik Rayyan kini ‘mendapat’ semula kakinya dan sudah boleh berjalan.
“Hatiku luluh, air mata jatuh berlinangan selepas melihat Rayyan tersenyum dan datang memeluk saya. Tiada apa yang lebih berharga daripada nyawa seorang manusia, ia benar-benar paling bernilai,” katanya.
Steven Sim turut mengimbau detik-detik awal ketika beliau menyertai politik yang mana sasarannya hanya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik dengan berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat.
“Hari ini, adik Rayyan mengingatkan saya tentang iltizam saya untuk melangkah ke kancah politik 14 tahun lalu, walaupun penuh cabaran, walaupun kadang-kala dicerca, dimaki dan difitnah, namun semuanya berbaloi kalau saya dapat membantu seberapa ramai orang yang susah,” katanya.
BACA JUGA Peniaga durian buat kerja gila jual IOI RM5 sekilogram