Cabaran Kerajaan Perpaduan, yang penting tiada kes sakau
Oleh LIYANA MARZUKI
Banyak “double whammy” (dua keadaan buruk wujud pada masa yang sama) Kerajaan Perpaduan yang sudah 20 bulan ini.
Saya beri perspektif:
1) PH menang PRU15 dengan 38% undi popular berbanding PN 30%. Walau lagi popular dari PN, PH masuk memerintah negara dengan populariti kurang 50% rakyat Malaysia. Itu cabaran besar sebagai kerajaan.
Masuk jadi kerajaan pula mereka terpaksa ambil tindakan TIDAK POPULAR untuk rakyat tetapi baik untuk negara seperti penyasaran subsidi dan memecahkan monopoli.
Ini double whammy yang pertama. Sudahlah menang tidak berapa popular berbanding Kerajaan BN yang dapat dua pertiga, nak kena pula buat polisi yang memang lagi tidak popular. Itu menagih kecaman jua.
2) Dari segi undi Melayu, PH dapat tidak sampai 15% manakala rakan gabungan BN dapat 32%. Kombinasi dapatlah mereka 47% berbanding PN 53%.
Kerajaan Perpaduan ini banyak bergantung harap kepada undi bukan Melayu, yang terdiri daripada 42% populasi rakyat Malaysia. Itu yang buat mereka bertahan jua.
Mereka mengharapkan UMNO bawa undi Melayu tetapi tidak jadi begitu.
Apabila Presidennya memecat hampir separuh pemimpin dan warlords UMNO, orang Melayu yang feudal ini mengikut juga. Yang tinggal dalam UMNO hanya geng Zahid Hamidi, warlords UMNO lain sudah keluar.
Ini double whammy kedua, sudahlah Kerajaan Perpaduan memerintah kurang undi Melayu, rakan sekutu pun kurang membantu ke arah itu apabila ramai warlords lari ke Bersatu.
3) Nakkan undi Melayu sebagai penduduk majoriti, Kerajaan Perpaduan kena ada tokoh sendiri.
Dalam berpolitik, orang Melayu ini masih feudal. Mereka perlu ada tokoh yang mereka nak pajak otak. Pembesar-pembesar Melayu yang mereka boleh taksub dan suka gila kepadanya.
Masalahnya dalam Kerajaan Perpaduan, tokoh besar hanya tinggal Anwar Ibrahim. Zahid Hamidi sudah tainted dan expired menunggu masa diganti.
Yang muda-muda pula, hanya jadi tokoh kalangan masyarakat Bangsar, Lembah Pantai dan Pandan yang tidak berhubung dengan penduduk semi urban dan kampung.
Nama besar dengan ada gerombolan pentaksub sudah dengan pembangkang. Contoh: Tun Mahathir dan Hadi Awang dengan bani “wala” mereka.
Walajib pula in no man’s land bukan dengan Kerajaan Perpaduan. Selagi Najib tidak keluar, mana-mana kerajaan pun mereka akan tentang.
Sekarang, kita ada tokoh baru Sanusi pula, punya impak tinggi kepada orang muda. Malah KJ yang ada pengikut sendiri, sudah nampak berpatah arang dengan Kerajaan Perpaduan. Memang double whammy.
Tiada sakau
Banyak lagi double whammy kerajaan ini. Nak tarik subsidi, double whammy dengan kenaikan harga. Nak ambil hati penduduk majoriti, penduduk lain rasa disisih.
Buatkan mereka sedar, bukan senang nak jadi kerajaan, bukan hanya skill guling-guling di jalanan.
Apapun, Kerajaan Perpaduan inilah yang dipilih memerintah negara bukan dengan undi popular rakyat sahaja. Malah, pilihan Majlis Raja-Raja.
Makanya, bertabahlah tiga tahun ini. Kita doakan mereka berjaya mengemudi dengan segala macam polisi.
Asalkan tiada kes sakau menyakau dan tidak tukar Perlembagaan nak kacau penduduk majoriti, saya akan sokong Kerajaan Perpaduan ini.
Loyalty to the country always, loyalty to the Government only when they deserve it.
Setakat ini, kita sokong lagi, kalau hauk ke laut dalam, PRU16 kita cari ganti.
BACA JUGA Selepas heboh isu HRD Corp, 10 pegawai SPRM bertandang di ibu pejabat