Selepas kemenangan Triathlon Desaru dicemuh, Syed Saddiq akui wujud ‘kesilapan jujur’
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman tampil mengaku wujud ‘kesilapan jujur’ selepas kemenangannya di tempat ketiga dalam perlumbaan ‘Triathlon Desaru 2024’ hujung minggu lalu dicemuh orang ramai terutamanya komuniti triatlon.
Menerusi rakaman video berbahasa Inggeris, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu menunjukkan data berkenaan acara tersebut yang didakwa berlakunya kesilapan teknikal.
“Izinkan saya menunjukkan data Strava saya, ia tidak begitu terperinci tetapi sudah pun menjadi umum.
“Saya juga membuat perbandingan bersama data iWatch saya untuk mendapatkan lebih banyak butiran.
“Namun, sebab saya tidak berkongsi ini lebih awal adalah kerana beberapa fakta tidak tepat.
“Sebagai contoh, iWatch saya hanya mencatatkan saya berenang 400 meter sedangkan perlumbaan sepatutnya 2.25 km.
“Pada masa yang sama, masa larian yang didaftarkan adalah lebih lewat daripada yang dilaporkan. Itulah sebabnya saya menunggu data rasmi untuk membuat perbandingan.
“Ini adalah kesilapan jujur di pihak saya. Walaupun saya telah memeriksa masalah ini semasa perlumbaan dan memberitahu pasukan teknikal, sebagai peserta, saya seharusnya lebih bertanggungjawab,” jelasnya.
Sehubungan itu, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan memohon maaf kepada komuniti triatlon.
“Ya, saya adalah peserta baru dan saya berhasrat untuk memperbaiki diri.
“Selepas berbincang dengan penganjur dan wakil teknikal, adalah lebih baik jika status saya adalah DNF (Did Not Finish).
“Mereka (penganjur) juga mengakui bahawa ini adalah kesilapan jujur,” katanya lagi.
Untuk rekod, ‘DNF’ merujuk pada peserta tidak berjaya menghabiskan perlumbaan.
“Saya berjanji untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang dan akan bekerja rapat dengan komuniti untuk menjadi lebih baik kerana ini adalah sukan yang saya cintai. Terima kasih banyak-banyak,” kongsinya di platform X hari ini.
BACA JUGA Ini status terkini 6 bekas ahli Parlimen Bersatu