Dihalang masuk rumah, isteri Taib Mahmud buat laporan polis

Mendakwa dihalang daripada memasuki kediamannya di Kuching minggu lalu, isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Abdul Taib Mahmud membuat laporan polis.

Menerusi hantaran di Instagram, Toh Puan Raghad Kurdi memberitahu kejadian itu berlaku ketika dia ke Kuching untuk melawat pusara Allahyarham.

Raghad turut menyampaikan sedekah jariah bagi pihak suaminya yang meninggal dunia pada 21 Februari lalu.

Namun, ujarnya, sejurus tiba di kediaman itu, pengawal bertugas memaklumkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan beliau masuk.

“Kami dihalang ketika sampai di pintu pagar dan pengawal memberitahu saya mereka tidak mempunyai kebenaran untuk membenarkan saya masuk.

“Tetapi Alhamdulillah, pengawal yang baik hati membenarkan saya masuk. Allah akan sentiasa melindungi dan membela mereka yang dizalimi,” katanya.

Melalui hantaran sama, Raghad, 44, turut berkongsi beberapa keping foto beliau berada di pintu pagar kediamannya bersama pengawal keselamatan dan ketika melawat pusara Taib.

Ekoran itu, Raghad berkata beliau membuat laporan polis termasuk permohonan yang perlu di mahkamah.

“Saya lakukan semua ini dengan berat hati, saya tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.

“Beliau (Taib) suami saya, tapi saya perlu merekodkan perbuatan memalukan yang dilakukan terhadap saya dan menuntut keadilan.

“Saya tahu saya tidak pernah berkongsi cerita saya sebelum ini, tetapi sudah tiba masanya untuk berbuat demikian,” tambahnya.

Raghad berkahwin dengan Abdul Taib Mahmud ketika usianya 30 tahun pada 18 Disember 2010.

Perkahwinan itu merupakan perkahwinan kali kedua Abdul Taib selepas isteri pertamanya, Laila Taib meninggal dunia pada 2009.

Taib meninggal dunia pada 21 Februari lalu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada usia 87 tahun.

Allahyarham diterbangkan ke Kuala Lumpur pada 10 Februari untuk mendapatkan rawatan lanjut, selepas keluar dari unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Pakar Normah di Petra Jaya.

BACA JUGA Isu jual air 3 sen kepada Singapura: ‘Tun M mana pernah jadi PM’

Â