Padah seleweng derma, SPRM beku 20 akaun pempengaruh babit RM740,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor telah membekukan kira-kira 20 akaun perbankan milik pasangan pempengaruh media sosial dan dua lagi individu. 

Menurut laporan media tempatan, kesemua akaun dibekukan itu membabitkan nilai lebih RM740,000, mempunyai kaitan dengan siasatan penyelewengan dana derma awam.

Kata agensi itu, akaun dibekukan adalah milik individu dan syarikat dipercayai ada kaitan dengan dana diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.

“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.

“Kemungkinan akan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan pembekuan beberapa akaun milik individu serta syarikat susulan siasatan SPRM terhadap pasangan pempengaruh terbabit.

Katanya, sitaan dan pembekuan akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

BACA JUGA KK Mart, pembekal didenda RM120,000 lukakan hati umat Islam isu stokin

Â