Nenggiri ujian pertama buat Ketua Pemuda Umno
Oleh NORMAN RADZUAN
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh terus agresif menempelak sesiapa yang menegurnya secara baik mahu secara keras sama ada orang dari luar parti mahu pun orang partinya sendiri.
Dengan wajah bongkak dia terus membidas sesiapa yang cuba menasihatinya. Lebih menyedihkan, Akmal menggunakan ayat yang tidak sesuai kepada mereka yang jauh lebih usia darinya seperti dia mengkritik Datuk Lokman Adam.
Akmal mungkin berasa seronok apabila mula mengkritik Kerajaan Perpaduan dia mendapat ribuan tanda ‘like’ dan komen. Jumlah yang tidak pernah dikecapinya sebelum ini.
Sebenarnya, Akmal sedang terkhayal dengan ujian ini kerana ‘like’ itu adalah musuh politiknya yang sebenar yang mengambil kesempatan daripada kelemahan yang ada pada dirinya.
Mereka ‘like’ untuk memberi semangat kepada Akmal untuk menghancurkan partinya sendiri. Mereka sebenarnya sedang meracuni Akmal untuk membunuh UMNO untuk parti mereka menjadi kerajaan.
Akmal, 36 tahun, masih muda dan dia sebenarnya adalah pelapis kepada pimpinan UMNO apabila dia terperdaya dengan H20, Ismail Sabri dan lain-lain yang dianggap team B yang hanya mahu menghabiskan sisa-sisa politik mereka sahaja dengan kuasa.
Mereka tidak peduli lagi nasib UMNO sebab sudah puas menjadi menteri sama ada UMNO akan mati atau menjadi semakin lemah tidak dipedulikan asalkan mereka ada peluang menjadi menteri sekali lagi.
Sebenarnya perasaan dendam kepada Presiden dan gila kuasa membuatkan mereka menghentam pimpinan kerajaan sekarang.
Mungkin Akmal masih muda untuk mengerti semua ini hingga mudah dipengaruhi dengan keadaan tersebut.
Akmal tiada lagi ketika Presiden dan pimpinan tertinggi UMNO di dalam perbincangan Muafakat Nasional dengan janji bersumpah setia atas nama agama dan bangsa. Bagaimana perit dianiyai oleh Pas selepas perjanjian itu didustai.
Begitu juga Akmal tidak mengerti betapa pimpinan Bersatu makan hati dengan pimpinan Pas yang tidak memberi mereka jawatan MB di salah satu empat negeri dimenangi.
Malah, di kerusi DUN Nenggiri mereka berhajat untuk mengambil alih dari Bersatu.
Akmal tidak mengerti bagaimana pemimpin-pemimpin profesional Pas disingkirkan dari parti mereka.
Akmal tidak mengerti betapa peritnya apabila Zahid Hamidi diminta untuk membubarkan UMNO oleh Mahathir ketika itu.
Akmal tidak tahu Anwar Ibrahim orang yang diserangnya setiap hari itu sanggup meninggalkan kerajaan PH 1.0 utk mempertahankan UMNO daripada diharamkan. Akmal tidak mengerti UMNO itu mahu diharamkan oleh Muhyiddin.
Akmal tidak mengerti betapa sakitnya hati pemimpin UMNO (2018) apabila ahli Parlimen mereka dicuri oleh Bersatu yang diketuai oleh Muhyiddin dengan memberi jawatan-jawatan sebagai menteri.
Akmal hanya akan mengerti jika UMNO bersatu dengan PN, 74 kerusi Parlimen Melayu milik Pas tidak akan diberi kepada UMNO.
Akmal hanya akan mengerti di antara Pas, Bersatu dan UMNO, UMNO adalah parti terkecil untuk mendapatkan kerusi ditandingi di kawasan Melayu.
Adab dalam parti
Baru semalam Adun Sungai Udang dari Bersatu, Dr Mohd Aleef Yusof mencabar Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka (DUN).
Akmal fikirkanlah sendiri sikap Pas dalam berpolitik yang rakus dengan kuasa.
Buat adik Akmal,
Anda berbakat untuk menjadi pewaris pimpinan parti UMNO ini. Pesanan saya, jaga adab apabila berhadapan dengan orang yang lebih tua.
Lihat Raja-Raja kita mereka begitu menjaga adab dan budi orang Melayu. Mereka akan tunduk dan mencium tangan kepada yang berhak dihormati.
Ini adab yang diajarkan generasi terdahulu kepada kita walaupun mereka yang duduk dalam istana. Jika kita bukan mempertahankan adab kesopanan ini, siapa lagi?
Sebagai pimpinan Ketua Pemuda UMNO, kedudukan Akmal seperti Naib Presiden dalam parti. Adab dan disiplin parti mestilah dihormati apabila berada dalam organisasi.
Bukankah selalu diadakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Guna saluran dalaman untuk menegur parti anda sendiri dan bukannya menggunakan media sosial.
Jika platform media sosial digunakan, Akmal tidak ubah seperti mana Tik Tokers.
Tak kan mahu meletakkan diri anda di situ sedangkan anda antara pimpinan tertinggi UMNO.
Jika anda menegur secara terbuka, tempias tetap kena pada pimpinan UMNO sedia ada. Penyokong Pas dan Bersatu bergembira.
Jika UMNO semakin lemah Muhyiddin manusia yang paling gembira. Akmal mesti faham formula pecah dan perintah yang diamalkan oleh pengamal politik.
Cuba lihat Ketua Pemuda Pas, Bersatu, PKR, AMANAH, DAP, MCA, Gerakan dan lain-lain, ada mereka mengkritik Presiden parti mereka?
Mereka tidak lakukan kerana faham disiplin parti dan tidak mahu melemahkan parti sendiri kerana tahu diri mereka bakal menerajui parti.
Sepatutnya, kelebihan menjadi kerajaan Akmal gunakan untuk membina kembali kekuatan UMNO.
Banyak kelebihannya UMNO kembali menjadi kerajaan bersama kerana pelbagai jawatan dalam kerajaan dapat kepada ahli-ahli UMNO.
Terpulanglah kepada Akmal Saleh untuk berubah atau tidak. Bagi saya, ujian untuk menguji kehebatan Akmal adalah di Nenggiri. Mungkin Akmal lebih selesa Ketua Pemuda hanya dari UMNO sahaja berkempen di sana.
Akmal patut berkampung dan rasai bagaimana berperang dengan pimpinan dan anak-anak muda Pas.
Akmal kena buktikan kepada rakyat Malaysia sokongan (like) di media massa itu dapat diterjemahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggering nanti.
Saya tunggu dan lihat kehebatan anda sepertimana hebatnya anda berhujah di Tik Tok. Semoga Akmal sukses untuk ujian pertama ini.
BACA JUGA Mahkamah diberitahu pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary dibatal zaman Mahiaddin
Â