Ada barang turun harga selepas penyasaran subsidi diesel – Fuziah
Bukan semua barangan mengalami peningkatan harga susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Malah, bagi barangan yang naik harga pula terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada keadaan tersebut.
Itu ditegaskan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi kenaikan harga sayuran yang ketara pada Jun lalu contohnya, jelas Fuziah, hal tersebut berlaku disebabkan keadaan cuaca tidak menentu.
Sebaliknya, kata beliau, harga ayam bersih standard stabil di paras harga munasabah bulan lalu berbanding Julai ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai impak rasionalisasi subsidi diesel terhadap harga barangan dan peningkatan kos sara hidup rakyat, selain kesan peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif elektrik serta air.
Dalam pada itu, Fuziah memaklumkan KPDN merekodkan dua sub kategori barangan mengalami peningkatan harga iaitu daging dan sayur-sayuran dengan julat peratus kenaikan antara 0.24 hingga 53.6 peratus, bulan ini.
Mengikut semakan data harga sebulan selepas pelaksanaan rasionalisasi diesel, katanya, KPDN juga mendapati peratus peningkatan tertinggi direkodkan bagi tomato sebanyak 53.6 peratus dan cili merah kulai pula 17.4 peratus.
“Terdapat juga barang mencatat penurunan harga selepas sebulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sebagai contoh kategori barangan seperti bawang dan telur ayam.
“Justeru jika ingin menyatakan kos sara hidup meningkat disebabkan penyasaran subsidi diesel sahaja adalah tidak wajar,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
BACA JUGA Jailani Khamis sah jadi ahli Pas
Â