Rakaman pembuli Esha keluar mahkamah sambil tersenyum undang kemarahan
Rakyat Malaysia menyuarakan kekesalan terhadap seorang wanita yang melakukan perbuatan buli siber sehingga mendorong kepada kematian pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha.
Kecaman terhadap wanita itu bukan sahaja kerana perlakuannya terhadap mendiang, tetapi kerana rakaman videonya yang terlihat angkuh ketika keluar dari kompleks mahkamah selepas dijatuhkan hukuman bersalah.
Wanita yang bekerja di rumah kebajikan orang tua itu tersenyum sinis saat keluar mahkamah, sambil gambarnya diambil oleh para media.
Orang ramai melabelnya sebagai sombong dan tidak insaf selepas menyebabkan kematian seseorang.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap tertuduh.
Ibu Esha, R Puspa meluahkan rasa dukacita terhadap hukuman itu dan lebih mengecewakan lagi apabila melihat tertuduh tersenyum ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
“Hati saya hancur kerana Shalini (tertuduh) tersenyum dan berjalan keluar dengan yakin. Mereka yang melakukan kesalahan berjalan bebas, dan yang melakukan yang betul akan terkubur,” kata Puspa menurut laporan media tempatan.
Di media sosial, rakaman videonya yang tersenyum dikongsi banyak kali oleh warganet.
Tidak terlepas, peguam kontroversi Siti Kassim juga menempelak sikap wanita itu yang dikatakannya sebagai tidak tahu malu.
BACA JUGA Fahmi pertegas tak pernah arah agensi media tutup ruang komen