Biden sudah tiada majlis rasmi hari ini selepas umum tarik diri rebut jawatan Presiden AS
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden tidak mempunyai majlis rasmi yang dijadualkan pada hari ini, lapor CNN.
Hal tersebut dikesan selepas presiden tertua dalam sejarah AS itu menarik diri daripada perebutan jawatan presiden.
Dalam masa sama, beliau mengesahkan Naib Presidennya, Kamala Harris, sebagai calon Parti Demokrat ketika beberapa tinjauan menunjukkan wanita berkenaan lebih berdaya saing.
Pengunduran Biden daripada perebutan jawatan presiden berlaku selepas tiga hari dia berikrar untuk kekal bersaing ketika tentangan dalam parti Demokrat semakin meningkat.
Rumah Putih mengatakan bahawa butiran tambahan mengenai jadual presiden untuk sepanjang minggu ini adalah sebagai “akan datang.”
Menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam X jam 2.13 pagi tadi, Biden berkata, adalah menjadi satu penghormatan terbesar dalam hidupnya untuk berkhidmat sebagai Presiden AS.
“Walaupun saya berhasrat untuk bertanding semula, namun demi kepentingan terbaik parti dan negara, saya percaya adalah lebih baik untuk berundur dan menumpukan perhatian kepada tugas sebagai Presiden untuk baki penggal saya,” katanya.
Dia menawarkan sokongan penuh untuk Harris yang akan menggantikannya sebagai calon presiden dalam pilihan raya pada 5 November depan.
“Demokrat sudah tiba masanya untuk bersatu dan menewaskan Trump. Mari lakukan ini,” katanya.
Biden, 81, berkata, beliau akan berucap dengan lebih terperinci mengenai keputusannya kepada negara, akhir minggu ini.
Pencalonannya menjadi tumpuan berikutan prestasi buruknya menentang bekas Presiden, Donald Trump dalam debat presiden akhir bulan lalu yang mencetuskan kesangsian berkaitan usia dan kesihatan Biden.
Prestasi politik Biden kelihatan jauh lebih teruk dengan 10 lagi Demokrat di Dewan Perwakilan dan dua senator menyertai senarai penggubal undang-undang yang secara terbuka menggesa beliau menarik diri daripada bertanding dengan Donald Trump.
Lebih 30 ahli Demokrat di Dewan Perwakilan dan empat senator kini meminta Biden untuk menarik diri sekaligus memberi laluan kepada calon lain.
Pada 18 Julai lalu, Trump menerima pencalonan presiden Republikan pada Konvensyen Nasional Republikan (RNC) di Milwaukee, Wisconsin, ketika desakan supaya Biden menarik diri daripada perlumbaan itu semakin meningkat.
Biden menewaskan Trump pada 2020, menjadi presiden tertua dalam sejarah AS.
BACA JUGA Penuntut IPTA, institusi latihan kemahiran boleh langgan Pakej Rahmah Prabayar Siswa
Â