PM masih belum puas hati walau ekonomi makin baik

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih belum berpuas hati walaupun pertumbuhan ekonomi mula menunjukkan perkembangan positif.

Anwar menyoroti masalah kos sara hidup yang masih dihadapi oleh rakyat termasuklah harga barang yang diakuinya agak menekan kehidupan.

Atas sebab itu katanya beliau telah mengumumkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebesar RM10 bilion untuk membantu 9 juta rakyat Malaysia. 

“Itu di antara angka-angka yang baik (pertumbuhan ekonomi). Tapi kalau tanya saya, adakah saya puas hati? Saya tidak puas hati kerana kita masih hadapi masalah kos sara hidup.

“Harga barang yang menekan kehidupan. Sebab itu saya telah umumkan beberapa langkah untuk membantu rakyat secara langsung yang dipanggil Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Bantuan itu kepada sembilan juta orang, tidak termasuk sekolah, I-Sara dan sebagainya yang jumlahnya RM10 bilion, bukan kecil,” katanya menurut Astro Awani.

Tambah beliau, dalam usaha membantu rakyat, beliau juga akan mengumumkan sistem saraan baharu, dengan menaikkan gaji penjawat awam.

Menurutnya, kenaikan itu akan menjadi yang paling tinggi dalam sejarah, selepas mengambil kira tugas mereka yang semakin cekap, harapan lebih tinggi dan pengawasan yang lebih keras.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat.

BACA JUGA Malaysia dinobat negara ke-10 paling aman 2024 di bawah kerajaan MADANI