Siap sedia, cuaca panas dan kering dijangka berlarutan hingga September 

Cuaca panas dan kering sejak beberapa hari lalu dijangka berlarutan hingga September, menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah.

Kata beliau, cuaca panas ketika ini disebabkan oleh ‘paduan’ musim Monsun Barat Daya dan dua ribut siklon tropika di utara Laut China Selatan yang muncul sejak beberapa hari lalu.

Negara menjadi bertambah panas dan kering apabila Taufan Gaemi dan Ribut Tropika Prapiroon itu berlaku.

“Musim Monsun Barat Daya sejak Mei lalu masih berlangsung sehingga September ini.

“Kemunculan dua ribut siklon tropika di utara Laut China Selatan beberapa hari lalu, menyebabkan cuaca menjadi lebih kering berbanding kebiasaan,” katanya memetik laporan Kosmo!.

Namun katanya, cuaca dijangka kembali kepada normal hari ini apabila dua ribut siklon mulai melemah.

Walau bagaimanapun, keadaan kurang hujan masih dijangka berlaku sepanjang tempoh Monsun Barat Daya sehinggalah bermulanya fasa peralihan monsun pada pertengahan September nanti.

Sementara itu berdasarkan rekod suhu ekstrem terdahulu, negara dijangka tidak akan mengalami cuaca panas yang mencapai Tahap 3 gelombang haba ektrem semasa musim Monsun Barat Daya ini berlaku.

BACA JUGA Hukum baca doa Qunut Nazilah kepada sesama Islam disebut dalam khutbah Jumaat