Isu Kampung Sungai Baru: Kerajaan jangan ikut kadar harga ditetap PN

Penilaian semula terhadap tanah di Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur perlu dilaksanakan tanpa mengikut kadar harga yang telah ditetapkan sewaktu era kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa perlu menyatakan pendirian berhubung isu tersebut sama ada bersetuju dengan nilai tanah yang ditetapkan jurunilai kerajaan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan itu juga berpendapat Kerajaan Perpaduan akan dikenang sebagai “perompak” harta rakyat di Kampung Sungai Baru jika meneruskan nilai yang telah ditetapkan kerajaan PN sebelum ini.

“Kita nak diberi keadilan, kerajaan kena perbetulkan kenapa jadi begini. Kalau Menteri Wilayah dan Perdana Menteri kata itu harganya, kita nak tahu pendirian kerajaan.

“Kalau kerajaan kata pergi mahkamah, kerajaan tak boleh lepas tangan, kerajaan yang bagi penilaian yang rendah, jika itu dirasakan adil, cakap, kita nak dengar, kalau tak adil cakap.

“Kenapa Perdana Menteri nak pertahankan keputusan yang dibuat oleh kerajaan PN? Dalam kes ini Annuar Musa diam, Shahidan Kassim diam, PN pun diam,” katanya pada sidang media di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Lebih 100 pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru tidak bersetuju dengan nilai pampasan ditawarkan kepada mereka sebelum ini lantaran terlalu rendah berbanding nilai sebenar.

Mereka merayu agar kerajaan mempertimbang semula nilai pampasan berbanding apa yang ditawarkan kerajaan sebelum ini melalui undang-undang di bawah Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960.

Terdahulu, Zaliha berkata, majlis pecah tanah projek pembangunan Kampung Sungai Baru akan dilaksanakan akhir tahun ini dengan kerja-kerja pembinaan bermula suku pertama 2025.

Beliau berkata kedua-dua pihak sudah ditemui di bangunan pejabat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan mendengar dengan teliti setiap penjelasan serta harapan yang disuarakan.

Namun katanya, setelah pertimbangan dibuat, beliau berpandangan kerajaan harus berlaku adil kepada pihak majoriti yang bersetuju dan akur sejak awal dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

“Antara asas-asas pertimbangan adalah apabila diperhatikan urusan pengambilan tanah yang dibuat adalah teratur, penilaian tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) adalah adil berasaskan Jadual Pertama Akta Pengambilan tanah dan pemberian tambahan pampasan diberikan di antara 10 hingga 15 peratus oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

“Malahan golongan minoriti sudah diberikan penempatan sementara, dan juga pernah diberikan peluang yang sama dengan golongan majoriti, iaitu balasan rumah dengan keluasan yang lebih besar, selesa, dan nilai jaminan (guaranteed value) yang akan meningkat pada masa akan datang melalui perjanjiandengan pihak pemaju,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada 10 Julai lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Sungai Baru, Lele Suzana Kudari dalam sidang media bersama Khalid berharap Zaliha dapat memberi maklum balas daripada hasil pertemuan mereka Mei lalu.

“Pada pertemuan itu kita minta kerajaan kaji semula kadar nilaian tanah, penyelesaian dibuat di luar mahkamah kerana pemilik tanah tetap mengalami kerugian jika dibawa ke mahkamah.

“Kita juga minta supaya pemilik dibenarkan tinggal di sini sehingga pemaju dapat kelulusan pelan kebenaran merancang (DO) dari DBKL serta sediakan rumah PPR kepada pemilik yang dapat pampasan sedikit.

“Bayangkan kalau dapat pampasan sikit RM280,000, bila dibahagikan kepada adik-beradik, berapa yang tinggal?” soal Lele Suzana lagi.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Hartanah terbabit pernah dinilai RM650 hingga RM850 bagi setiap kaki persegi tetapi nilai yang ditawarkan hanya antara RM400 hingga RM450 bagi setiap kaki persegi.

BACA JUGA Amaran hujan lebat di seluruh Melaka, Johor

Â