6,817 masjid di bawah Jakim laksana solat jenazah ghaib buat Ismail Haniyeh
Seluruh 6,817 masjid di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menunaikan solat jenazah ghaib susulan keganasan rejim haram Zionis membunuh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berhubung perkara itu.
“Saya kini berada di Kaherah dan arahan telah dibuat.
“Kita dapatkan maklumat dulu. Jika dah dimandikan, saya minta semua Masjid Jakim dan Jawi untuk mengadakan solat ghaib,” katanya, dipetik Sinar Harian.
Untuk rekod, selain 6,817 masjid, terdapat sejumlah 18,380 surau di bawah Jakim dengan seramai 13,631 imam, 7,868 bilal serta 7,868 noja, siak dan merbot.
Hari ini, dunia dikejutkan dengan serangan rejim haram Zionis di kediaman Ismail di Tehran yang mengakibatkan pemimpin tertinggi Hamas itu dan seorang pengawal peribadinya syahid.
Ismail, 62, sebelum itu menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu republik Islam itu Masoud Pezeshkian.
Setakat ini tiada pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
BACA JUGA Alami masalah pendarahan dalaman lagi, ADUN Mahkota kritikal