Belanjawan 2023 buktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan cakna rakyat B40, M40
Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 24 Februari lalu adalah belanjawan yang mujarab bagi keadaan ekonomi semasa.
Terima kasih dan tahniah kepada PM10, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berupaya mengurangkan defisit negara dan pada masa yang sama, memperuntukkan perbelanjaan pembangunan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM99 bilion.
Belanjawan sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan ini membuktikan Kerajaan Perpaduan cukup cakna rakyat dengan meletakkan keperluan mengatasi masalah perut rakyat sebagai keutamaan.
Suatu yang amat menggembirakan apabila kebajikan golongan M40 turut diberikan perhatian khusus. Kadar cukai pendapatan M40 dikurangkan dua peratus dan meliputi lebih banyak individu.
Selain itu, kadar cukai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut diturunkan kepada 15 peratus untuk RM150,000 yang pertama.
Di samping itu, sebanyak RM40 bilion kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan disediakan untuk PMKS, manakala GLC akan memperuntukkan RM1.5 bilion untuk melabur dalam syarikat pemula atau start-up berpotensi tinggi.
Selaras keprihatinan Kerajaan Perpaduan, Belanjawan 2023 turut menambah jumlah bantuan dan subsidi sebanyak RM9 bilion kepada RM64 bilion, dan PM10 telah menegaskan ini bukan masa yang sesuai untuk memperkenal semula cukai GST. Ini menunjukkan kerajaan mahu terus membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang tinggi.
Saya turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan projek pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan menangguhkan cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Ini selaras dengan kenyataan saya sebelum ini, di mana projek KXP dibimbangi menjadi projek gajah putih jika dijalankan sekarang.
Belanjawan 2023 juga cakna kepada keperluan sektor pertanian yang masih berada di bawah paras pra-pandemik. Belanjawan kali ini menyediakan RM30 juta untuk bekerjasama dengan beberapa kerajaan negeri bagi melaksanakan projek-projek agromakanan.
Idea supaya FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menyuburkan tanah-tanah terbiar milik mereka dengan keluasan sehingga 800 ekar untuk projek tanaman makanan adalah suatu langkah yang menarik.
Usaha ini adalah langkah ke hadapan yang berupaya mengurangkan masalah struktur sektor pertanian dan makanan di Malaysia.
Belanjawan 2023 ini juga unik kerana tidak dibentuk atas naratif perkauman, tetapi telah mengangkat keperluan semua rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 dan M40.
Namun, sebagai populasi terbesar Malaysia, kaum Melayu akan menjadi penerima manfaat terbesar belanjawan ini.
Semoga dengan Belanjawan 2023, Malaysia lebih bersedia menghadapi tekanan makroekonomi global.
*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.
BACA JUGA Fitnah Razman terhadap PM Anwar bukti Pas hilang nilai Islam
Â