Gaji MB Kelantan tinggi tapi prestasi ekonomi terendah, terbalik pula dengan Pulau Pinang

Gaji Menteri Besar Kelantan mencecah sebanyak RM20,000 walaupun mencatatkan prestasi ekonomi negeri terendah di Malaysia dengan KDNK per kapita pada tahun 2023 hanya RM16,836.

Analisis Kini News Lab mendedahkan gaji Menteri Besar Kelantan adalah 119 peratus daripada KDNK per kapita negeri.

Angka itu sekaligus membuktikan wujudnya jurang besar antara gaji MB dan prestasi ekonomi negeri di Malaysia.

“Sebaliknya, dengan KDNK per kapita RM72,586, Pulau Pinang mencatatkan KDNK per kapita tertinggi di Malaysia pada tahun 2023 (tidak termasuk Wilayah Persekutuan).

“Namun, gaji Ketua Menteri di negeri itu adalah yang paling rendah iaitu RM14,175 sebulan.

“Ini bermakna keadaannya terbalik dengan Kelantan. Di sini gaji ketua menteri hanyalah satu perlima – atau 20 peratus – daripada KDNK per kapita negeri,” menurut analisis itu lagi.

Perbandingan juga mendapati gaji MB Kelantan turut melebihi gaji MB Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Melaka biarpun masing-masing KDNK per kapita berjumlah RM51,709 dan RM53,922.

Selain itu, dengan KDNK per kapita RM41,902, gaji MB Johor adalah RM14,907 jauh berbeza dengan laba bulanan diraih MB Kelantan yang tidak sepadan dengan prestasi ekonomi negeri.

Malah, gaji Speaker Kerajaan Negeri Kelantan menyamai Selangor iaitu RM15,000 yang merekodkan KDNK per kapita ketiga tertinggi di Malaysia.

Semakan turut mendapati gaji Speaker Kerajaan Negeri Kelantan melebihi gaji Speaker Kerajaan Negeri Kedah, Terengganu dan Pahang masing-masing RM14,000, Perak (RM12,500), Pulau Pinang (RM12,109), Melaka (RM11,000), Negeri Sembilan (RM10,888), Perlis (RM10,000) dan Johor (RM6,109).

BACA JUGA Ganasnya rusuhan anti Islam di UK, inilah akibat pempengaruh sebar maklumat palsu

Â