Kecoh Tesla tak jadi bina kilang, Tengku Zafrul tampil buka mulut

Lewat malam tadi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz tampil memberi respon berhubung dakwaan Tesla membatalkan rancangan pengeluarannya di Malaysia.

Menerusi ciapan di aplikasi X, Zafrul menjelaskan dengan panjang lebar bahawa laporan yang diterbitkan itu hanyalah berdasarkan maklumat dari sumber dan bukan kenyataan rasmi Tesla.

Kedua, beliau berkata kerajaan Malaysia tidak pernah membuat pengumuman bahawa Tesla akan membuka kilangnya di Malaysia.

“Tanya Tesla. Betul ke Tesla tak jadi bina kilangnya di Asia Tenggara? Laporan ini diterbitkan oleh sebuah akhbar Thailand dan dipetik semula oleh akhbar negara kita. 

“Pertamanya, laporan tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama.  

“Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. 

“Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Zafrul, ia tidak bermakna segala keistimewaan yang diberikan kerajaan kepada Tesla sebagai buang masa.

Ini kerana dalam usaha mengukuhkan ekosistem EV, kerajaan telah memperkenalkan Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri yang terbuka untuk mana-mana pembuat kenderaan EV. 

“Namun setakat ini, hanya Tesla yang telah memohon dan diluluskan penyertaannya dalam inisiatif Global BEV ini tetapi kita mengalu-alukan penyertaan pembuat EV lain. 

“Jadi, bila kata Tesla dapat layanan istimewa, tak betul tu, mana-mana syarikat pun boleh memohon untuk inisiatif ini,” katanya.

Justeru, Tengku Zafrul berkata MITI akan terus berusaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia termasuk meneruskan strategi menarik pelaburan dalam industri automotif tidak terhad kepada Tesla sahaja.

Pada 20 Julai tahun lalu, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika, mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia melalui Tesla Malaysia Sdn Bhd.

Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan MITI.

Selain akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang canggih kepada pengguna Malaysia, Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di Malaysia serta menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.

BACA JUGA Dari B40 terus ke M40, peserta IPR Intan mampu raih RM5,000 sebulan hasil tanam cili

Â