Dakwa adanya rasul selepas Nabi Muhammad, ini penegasan Jakim

Sesat betul apabila Millah Abraham mendakwa adanya rasul selepas nabi akhir zaman Muhammad SAW.

Tidak cukup itu, Millah Abraham yang menyeleweng itu suka hati sahaja menuduh orang yang tidak mengikut ajarannya sebagai melakukan syirik.

Oleh sebab itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memantau rapi gerakan pihak tertentu yang cuba menyebarkan ajaran sesat tersebut.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, ia berikutan ada cubaan pihak tertentu untuk menyebar ajaran itu dikesan di beberapa negeri.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Jelasnya, selain bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam serta Jabatan Mufti setiap negeri, Jakim turut bekerjasama rapat dengan polis bagi mengekang ajaran sesat itu.

“Jakim sentiasa memantau sejauh mana ajaran itu dikembangkan sama ada secara dalam talian atau secara fizikal.

“Kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat negeri membolehkan tindakan segera diambil untuk menghalang sebarang kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang Islam,” katanya.

Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Madani Ulama dan Unara (JMUU) Peringkat Negeri Sarawak yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Kuching, hari ini.

Ajaran Millah Abraham dikesan dan difatwa sebagai ajaran sesat di beberapa negeri termasuk di Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

Kesesatan ajaran itu begitu terserlah apabila memesongkan maksud hari akhirat serta menggabungkan Islam, Kristian dan Yahudi untuk membentuk ajaran yang baharu.

Bahkan, ajaran sesat itu mengingkari kewajipan solat lima waktu dan solat Jumaat.

Semalam, Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) mengesahkan kewujudan gerakan ajaran sesat itu di Perak.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, tiga beranak ditahan masing-masing di Felda Sungai Kelamah dan Felda Palong 3, dekat Gemas, Tampin, pada 10 Julai lalu kerana disyaki menganggotai ajaran Millah Abraham.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, JMNPk merasakan adanya keperluan untuk membuat sekatan termasuk mewartakan fatwa mengenainya bagi mengelakkan ajaran itu merebak walaupun gerakan tersebut bukan dalam skala besar.

BACA JUGA Annuar Musa ‘ikut aku la pitih aku’ kini tular

Â