‘Anwar patut jadi PM Palestin’, netizen saran aktivis ini pindah ke negara haram Israel

Aktivis sosial, Siti Kasim ditempelak warganet termasuk disaran berpindah ke negara haram Israel.

Reaksi orang ramai itu selepas Siti Zabedah Kasim dilihat mempersoal hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan.

Siti Kasim yang juga peguam mengaitkan dengan tempoh lama pesakit di negara ini untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Anwar Ibrahim patut jadi PM Palestin. Adakah dia peduli berapa ramai rakyat Malaysia yang perlu menunggu rawatan mereka di hospital tempatan kita?

“Siapa yang membayar untuk rawatan ‘orang Palestin’ ini? OTT. Saya tidak akan mengundi ini lagi,” katanya di platform X hari ini.

Siti Kasim

Menjengah ke ruangan komentar di akaun milik Siti Kasim, rata-rata membidas aktivis berkenaan selain mengingatkan usaha menerbangkan rakyat Palestin yang cedera itu merupakan bantuan kemanusiaan.

“Tolong, berhijrah ke Israel sekarang!” gesa pengguna X, @CM230282.

“Kamu buat kecoh tentang bantuan kemanusiaan kepada orang yang berhadapan pembunuhan beramai-ramai? Pembayar cukai Malaysia dengan senang hati akan membayar bil rawatan itu. Saya berbangga kerana Malaysia melakukan yang terbaik untuk Palestin,” kata @dass_terrence.

“Kamu sepatutnya dihantar ke Gaza bagi melawan pencerobohan Israel,” tulis @faizalriduan.

“Macam mana orang yang boleh buat baik kepada Orang Asli, begitu benci kepada anak-anak Palestin yang cedera tu?,” soal @MariaHertorgh pula.

“Hidup kena berbagi Siti Kasim oii… Menolong orang susah itu kewajipan kita sebagai umat Islam. Memang sistem kesihatan kita tidak sempurna tetapi dengan menolong orang yang dalam kesusahan, Allah cukupkan kekurangan kita. Beristifar banyak-banyak, ya,” nasihat @theroselina64.

Terdahulu, dua pesawat pengangkut Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilapor diterbangkan ke Pangkalan Udara Al Maza, Mesir untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, segala butiran berhubung misi tersebut akan dimaklumkan dalam minggu ini.

BACA JUGA Tempias Jana Wibawa, Bersatu bakal terkubur?

Â