‘Hari gelap buat saya’ – Yasin dipenjara seumur hidup, 16 sebatan
Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap komposer dan penyanyi terkenal, Yasin Sulaiman selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah.
Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin yang dibuat Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya 29 November tahun lalu.
Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 49, yang sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor digari oleh pihak polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang.
“Hari ini hari yang gelap untuk saya,” kata Yasin sebaik dibawa polis.
Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
BACA JUGA Chef Zam geram restoran jual ‘nasi lemak telanjang’, kena bayar lebih kalau nak sambal