AMANAH beri laluan kepada BN, tapi agihan kerusi PRU16 perlu diputus semula
AMANAH sepakat untuk memberi laluan kepada parti penyandang DUN Mahkota iaitu Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 28 September depan.
Bagaimanapun Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad dalam satu kenyataan berkata, pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 untuk seluruh negara termasuk di Johor, akan dibincangkan dan diputuskan semula oleh badan tertinggi gabungan Perpaduan.
“Ini adalah kerana PRU16 ini adalah PRU pertama kita tandingi sebagai gabungan Perpaduan.
“Oleh itu agihan kerusi perlu dikaji kembali demi menjamin kemenangan yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perkara itu disepakati dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Nasional dengan kehadiran Jawatankuasa Pengurusan Johor membincangkan agenda PRK DUN Mahkota.
Begitupun kata Khalid, AMANAH akan menggerakkan seluruh kekuatan jentera pilihan raya bagi membantu calon BN mempertahankan kerusi DUN Mahkota dalam PRK ini selaras dengan pelantikan Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan sebagai Pengarah Pilihan Raya PH bagi PRK DUN Mahkota.
BACA JUGA Lain macam penangan kalah Nenggiri, Hadi Awang kaitkan PH-BN dengan dajjal
Â