Ada hari 1 sen pun tak dapat, pengayuh beca di Terengganu ‘rindu’ elaun bulanan

Beberapa pengayuh beca di bandar Kuala Terengganu masih berharap kepada elaun bulanan dari kerajaan negeri yang difahamkan sudah tidak lagi diberi ketika ini.

Mereka mengakui perit untuk meraih pendapatan seharian sehinggakan ada kalanya terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Mereka yang rata-ratanya warga emas, bergantung sepenuhnya kepada pendapatan sebagai pengayuh beca.

Salah seorang pengayuh, Abdullah Mohamad berkata, sebelum ini mereka diberikan elaun bulanan sebanyak RM200, tetapi kini tiada lagi.

“Sebelum ini, kita ada dapat bantuan elaun bulanan sebanyak RM200 tapi dah lama bantuan ini tidak diagihkan. Mungkin juga akibat kekangan kewangan dialami kerajaan negeri ketika ini.

“Saya pun sudah lupa bila kali terakhir terima elaun ini. Mungkin sekitar lebih setahun yang lalu,” katanya memetik laporan Sinar Harian dalam segmen Apa Khabar Rakyat hari ini.

Warga emas berusia 68 tahun itu berkata, dia berharap golongan sepertinya tidak dipandang sepi oleh kerajaan negeri kerana mereka sudah berpuluh-puluh tahun berkecimpung dalam perkhidmatan ini.

“Kita harap beca tidak hanya tinggal nama dan sekadar dijadikan ikon negeri. Malah, kita juga berharap ada usaha untuk menjadikan kenderaan ini sebagai pengangkutan yang masih digunakan di Terengganu,” ujarnya.

Menurut seorang lagi pengayuh, Abdul Wahab Abdul Rahman, 78, dia masih menjalankan rutin membawa beca walaupun ada hari-hari tertentu tiada seorang pun penumpang yang menaiki pengangkutan tersebut.

“Setiap kali bawa beca saya bergantung pada nasib. Ada hari-hari tertentu saya balik dengan tangan kosong kerana tiada seorang pun pelanggan.

“Pendapatan pengayuh beca sekarang tidak menentu sebab dah tak ramai yang suka naik beca. Ada hari kalau bernasib baik dapatlah dalam RM20 atau RM30. Ada hari kami dapat banyak, ada hari satu sen pun kami tak dapat.

“Namun saya bersyukur dengan apa yang ada memandangkan saya sudah tiada tanggungan dan dua anak semuanya sudah besar,” ujarnya seperti dilapor.

BACA JUGA Lah.. kereta Bently dinaiki PM disediakan kerajaan Sarawak, bukan Anwar punya