Kritikan bukti gagal hormati kepentingan isu halal
Kritikan Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu pensijilan halal bukti Kelvin sama sekali gagal memahami atau menghormati kepentingan dan hakikat isu halal yang suci bagi umat Islam di Malaysia.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO , Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail menerusi satu kenyataan berkata, kritikan dalam isu pensijilan halal adalah satu penghinaan kepada sensitiviti agama dan umat Islam di negara ini.
Menurutnya, Dr Muhamad Akmal mengambil tindakan tepat apabila menempelak Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang biadab mempertikaikan usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung proses pensijilan halal.
Bahkan, tegasnya, tindakan pemimpin DAP itu jelas melanggar teras kepercayaan dan amalan umat Islam.
“Teresa tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan agama yang tidak ada kena-mengena dengannya, lebih-lebih lagi apabila kenyataan itu jelas menghina dan mencabar maruah serta sensitiviti umat Islam.
“Tindakan Yang Berhormat Dr Muhamad Akmal menegur Teresa bukan saja wajar, malah perlu dipuji kerana beliau tegas mempertahankan hak dan kepentingan agama Islam serta majoriti rakyat negara ini.
“Kita tidak perlukan pemimpin yang seperti Kelvin, yang hanya tahu membela pihak yang terang-terangan mencemarkan dan memperlekehkan urusan agama Islam,” katanya.
Fariz Hazurin yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang berkata, seandainya bahasa Dr Muhamad Akmal dilihat keras, itu kerana beliau berani mempertahankan prinsip yang seharusnya tidak boleh dikompromi.
“Teresa dan mereka yang seangkatan dengannya perlu sedar, jangan sekali-kali mencabar kesucian dan hak umat Islam.
“Ini kerana ia hanya akan membawa kepada perpecahan dan ketegangan yang boleh menggugat kestabilan serta keharmonian negara kita yang tercinta ini,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Pensijilan halal: Bina penghubung, seruan untuk perpaduan
Â