Selepas dirakam keterangan, ini penjelasan Teresa isu sijil halal

Teresa Kok menjelaskan beliau tidak pernah mempersoalkan peranan JAKIM termasuk mempersoalkan langkah pematuhan sijil halal.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, sebagai seorang wakil rakyat, beliau berhak untuk menyuarakan kebimbangan dan masalah rakyat berbilang kaum.

“Saya mempunyai tanggungjawab untuk menyiarkan masalah rakyat dan saya minta kerajaan mengkaji semula cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Saya tidak mempersoalkan mengenai sijil halal, peranan JAKIM dan agama Islam,” katanya.

Teresa berkata demikian kepada pemberita selepas selesai diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), kira-kira dua jam, hari ini.

Dalam masa sama, Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, beliau tetap akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan itu namun mengharapkan semua pihak bertenang.

“Saya harap isu ini akan tenang, reda kerana banyak pihak sudah menyatakan pandangan mereka masing-masing,” tambahnya.

Terdahulu, Teresa selesai diambil keterangan oleh Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman dan keluar kira-kira pukul 11.55 pagi tadi.

Beliau ditemani peguamnya yang juga Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Beberapa ahli Parlimen (MP) dan Adun DAP turun di Bukit Aman sebagai tanda solidariti terhadap Teresa.

Antara MP terlibat ialah Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga Pengerusi DAP, Fong Kui Lun (Bukit Bintang), V. Ganabatirau (Klang), Tan Kok Wai (Klang) dan Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

BACA JUGA PM Anwar doakan roh RPK diberi keampunan

Â