Ini sebabnya Fadillah dedah draf MoU peruntukan MP pembangkang
Kandungan penuh draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, didedahkan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau bertindak mendedahkan butiran kandungan draf MoU berkenaan memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.
Sehubungan itu, Fadillah berharap tindakannya itu membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI dan mahu mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.
Menurutnya, hal ini penting supaya semua pihak dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia.
“Dengan pendedahan MoU ini, rakyat sendiri boleh menilai bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menerusi kenyataan itu, Fadillah menghuraikan enam perkara mengenai fraf MoU iaitu tempoh berkuat kuasa, obligasi Perikatan Nasional (PN), obligasi Kerajaan Persekutuan, ketelusan dan tiada kerahsiaan, pemakaian undang-undang dan pembatalan memorandum.
Jelasnya, tempoh berkuat kuasa adalah dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen Ke-15 atau pada 19 Disember 2027 atau mana yang terdahulu.
Obligasi PN pula ialah menyentuh mengenai peranan dan fungsi Ahli Parlimen Pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai Ahli Parlimen pembangkang berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.
Ia juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.
Obligasi Kerajaan Persekutuan pula, antara lain mengakui bahawa Ahli Parlimen pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab.
Mengenai ketelusan dan tiada kerahsiaan, memorandum berkenaan tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.
“Bagi pemakaian undang-undang, MoU ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia manakala aspek pembatalan memorandum pula ia secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut MoU ini. Ini melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Bakal calon PM selamba pakai baju produk haram
Â