Sindiket ‘Counter Setting’: SPRM jumpa hampir RM800k di bilik tidur pegawai imegresen gred rendah

Seorang pegawai imegresen yang didakwa bersekongkol dalam sindiket membawa masuk warga asing melalui ‘counter setting’, didakwa memiliki sejumlah wang tunai sebanyak hampir RM800,000 yang disembunyikan di dalam bilik tidur.

Menerusi pendedahan dibuat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, pihaknya menemui sejumlah RM518,250 dalam bagasi di bilik tidur pegawai wanita imigresen Gred KP22 di kediamannya di Pahang.

SPRM turut menemui wang tunai RM248,443 yang disimpan di bawah katil bilik utama pegawai imigresen lelaki Gred KP19 di rumahnya di Melaka.

“SPRM telah menyita wang tunai AS$9,900 (RM41,990) dan 5,470 Bath (RM696) menerusi operasi tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Sindiket ‘Counter Setting’ menyaksikan lebih banyak pegawai pengkuatkuasa yang menerima rasuah membawa masuk warga asing ke negara ini.

Kira-kira seramai 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguatkuasa telah ditahan suruhanjaya berkenaan.

Modus operandi yang dilakukan sindiket ini adalah dengan mempromosikan pakej untuk masuk ke Malaysia menerusi platform media sosial khususnya Facebook dan Telegram.

Difahamkan, terdapat ejen yang akan menghubungi pegawai imigresen terbabit menerusi aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan tarikh sesuai bagi membolehkan kumpulan warga asing itu datang ke Malaysia sebagai pelancong.

Pegawai-pegawai akan diberi rasuah antara RM200 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang masuk ke negara ini.

Mereka juga mempunyai kod nama berdasarkan kewarganegaraan warga asing dibawa masuk.

Azam Baki berkata, bagi warga Bangladesh, kod namanya adalah “school boy” dengan rasuah sebanyak RM2,500.

Bagi warga Myanmar adalah adalah junta (RM1,500), Pakistan (karpet, RM1,300), India (kicap, roti canai, RM800), China (limau, RM350), Vietnam (laici, nguyen, RM350) dan Indonesia (salak, RM300).

BACA JUGA Bila masa ada tahlil khas dengan PN? Anak bekas ADUN Mahkota tegur Annuar Musa