Penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor tidak perlu ditangguh lagi
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan menegaskan penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak perlu ditangguhkan lagi jika merasakan gabungan PH-BN yang terbaik untuk masa depan negara dan negeri.
Beliau berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di negeri itu bagi merealisasikan gabungan yang lebih mantap selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
“Kami dalam AMANAH sudah mengutarakannya sejak akhir tahun lalu mengenai Kerajaan Perpaduan di Johor. Kita bukan nak mendesak. Terpulanglah kepada kepada mereka.
“Kalau mereka merasakan ini yang terbaik untuk masa depan negara dan Johor, mengapa kita perlu tangguhkan lagi,” katanya, memetik BH Online.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani itu berkata, Johor satu-satunya negeri yang tidak menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas pembentukan kerajaan hasil kerjasama PH dan BN di peringkat pusat.
Di Melaka, Aminolhuda berkata, Kerajaan Perpaduan di negeri itu sudah dibentuk walaupun pilihan raya negeri (PRN) diadakan lebih awal daripada Johor.
PH terutamanya AMANAH menyuarakan perkara itu sebaik dimaklumkan mengenai PRK DUN Mahkota.
“Apabila ada PRK, kita cuba suarakan kalau tak ada Kerajaan Perpaduan, perlulah AMANAH bertanding di sini.
“Kami memahami kami ada pemimpin yang lebih tinggi bukan saja di peringkat AMANAH tetapi di peringkat PH, iaitu Pengerusi PH ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita sudah buktikan sejak PRK Simpang Jeram dan Parlimen Pulai. Hubungan kita dengan UMNO pun baik.
“Hari ini kita tunjukkan juga. Kata orang, kali ini kita lakukan sebagai kawan dalam Kerajaan Perpaduan peringkat nasional,” kata Aminolhuda lagi, lapor BH Online.
Untuk rekod, UMNO menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor 2022.
PH pula terdiri daripada DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi.
BACA JUGA Dah macam ‘rombongan Cik Kiah’ nak angkut 68 penjawat awam ke Berlin, ramai puji PMX batalkan
Â