Liew Chin Tong sangkal hujah bukan Melayu tidak keluar mengundi di Mahkota
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong hari ini menyangkal ulasan berkenaan peratusan keluar mengundi bukan Melayu rendah di DUN Mahkota oleh Institut Darul Ehsan.
Menurut beliau isunya bukan pengundi bukan Melayu tidak keluar mengundi sebaliknya ramai pengundi muda tidak keluar mengundi.
“Jika kita melihat kesemua saluran mengundi tanpa mengira kaum, satu atau dua saluran pengundi muda memang tidak ramai keluar mengundi. Kebanyakan pengundi muda Kluang bekerja di luar daerah, terutamanya di Singapura dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.
“Di samping itu, saya sendiri telah menemui beberapa pengundi muda yang tidak tahu mereka berhak mengundi. Ramai antara mereka yang masih tidak menyedari tentang pendaftaran secara automatik pengundi apabila mencapai usia 18 tahun.
“Gerak kerja kempen Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Kluang Sdri Wong Shu Qi, awal-awal lagi sudah sedar tentang kemungkinan kurangnya peratusan keluar mengundi.
“Anggaran awal adalah pengundi Cina tidak akan keluar mengundi atas beberapa faktor,
termasuk marah dan kecewa dengan perbalahan di antara Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
“Namun, pihak kami tetap yakin bahawa kempen yang menyeluruh akan dapat memujuk pengundi Cina yang disasarkan mencapai 50%, walaupun ada yang menaruh harapan ia dapat mencapai 55%, satu harapan yang sukar menjadi kenyataan.”
Beliau menambah perkara penting yang difokuskan ialah calon BN Syed Hussien Syed Abdullah menang di kesemua 121 saluran mengundi di 18 pusat daerah mengundi.
“Justeru, untuk mengatakan bahawa hanya 35% pengundi Cina keluar mengundi adalah tidak tepat, atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Kadar peratusan keluar mengundi kali ini masih berada di tahap yang memuaskan.
“Malah, para pengundi Cina ini yang kebanyakannya merupakan penyokong Pakatan Harapan telah memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional dalam PRK Mahkota.
BACA JUGA: Formula kolisi Kerajaan Perpaduan berhasil, undi Melayu, Cina meningkat – IDE
Â