‘Dah bersalam, jadi terkedu dan terkhilaf tidak bersalaman sekali lagi’

Selepas dihujani kecaman orang ramai lantaran tidak bersalaman dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, akhirnya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perniagaan Peladang Sdn Bhd (MADACorp), Abdullah Ismail tampil bersuara.

Abdullah memberitahu dia terlebih dahulu telah bersalaman dengan Datuk Seri Mohamad Sabu semasa program Sentuhan Madani Negeri Kedah kelmarin sejurus Menteri berkenaan keluar dari kereta.

“Kemudian saya mengiringi YBM KPKM bersalaman dengan pegawai-pegawai yang lain.

“Ketika mengiringi YBM KPKM bersalaman dengan pegawai lain, beliau telah
menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengan saya.

“Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu, saya jadi terkedu dan saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video menunjukkan Abdullah enggan berjabat tangan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Dia dilihat menyilangkan tangan di belakang dan berundur selangkah sejurus Mohamad menghulurkan tangan sekaligus mengundang kecaman orang ramai kerana dilihat bersikap biadab.

Mengulas lanjut, Abdullah yang dilantik sebagai CEO MADA Corp pada Mei 2022 “mengakui kesilapan” tersebut dan memohon maaf.

“Saya dengan rasa rendah diri mengakui kesilapan saya kerana tidak menyambut salam sekali lagi YBM KPKM dan ingin memohon maaf di atas salah faham yang telah berlaku.

“Akhir sekali, saya harap penjelasan dan permohonan maaf saya diterima oleh semua
pihak yang terasa dengan perbuatan saya,” tambahnya.

@datosyed616

Memalukan Menteri dan Kerajaan MADANI….

♬ original sound – dsa – dsa

BACA JUGA Ramai desak CEO MADA Corp dipecat

Â