AMANAH ok sahaja, tak kecil hati pandangan Nur Jazlan

AMANAH Selangor tidak berkecil hati dengan pandangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang melabel AMANAH dan PKR ‘lebih sudu daripada kuah’ berkaitan isu pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor. 

Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim berkata, perselisihan pendapat dan pandangan terbuka itu perkara biasa bagi ahli politik, malah kenyataan dilemparkan adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili parti.

Kata beliau, keadaan di Johor tidak menjejaskan kerjasama baik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

“Saya tidak ada kerisauan kerana itu pandangan peribadi. Semua boleh beri pandangan tetapi akhirnya pimpinan tertinggi yang akan buat keputusan.

“Masing-masing ada media sosial bebas beri pandangan, pada saya tiada masalah dan tidak menjejaskan kerjasama atau memecahkan perpaduan.

“Biasalah kalau tak panas bukan politik, kalau sejuk banyak pihak tidur. Kalau nak kecil hati jangan masuk politik, jiwa kena kuat, hati tisu tidak boleh masuk politik,” katanya kepada media hari ini.

Hari ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan keras kepada pimpinan dan ahli parti agar berhenti mengusik komponen parti Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga berkata Pakatan Harapan tidak perlu meminta maaf kepada UMNO berhubung tohmahan yang dibuat pada masa lalu.

“Tak perlu permohonan maaf. Jangan perli komponen parti Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.

Zahid berkata kenyataan Nur Jazlan adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian parti.

BACA JUGA Naik 2 anak tangga, PMX di tangga ke-15 pemimpin Islam paling berpengaruh di dunia

Â