Bayangkan jika Anwar yang kata tumbangkan kerajaan…
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu menumbangkan kerajaan tanpa halangan daripada mana-mana pihak.
Beliau secara perbandingan menggambarkan banyak kecaman pastinya muncul jika Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengeluarkan kenyataan sedemikian ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan.
“Bayangkan jika yang kata macam ini adalah Datuk Anwar Ibrahim semasa PN berkuasa?
“Tentunya yang akan tersembur dari mulut pendukung Pas adalah Datuk Seri Anwar tidak menjunjung titah Agong, derhaka kepada institusi raja, pengkhianat mandat rakyat, bersekongkol dengan DAP hendak menghapuskan institusi raja-raja, dan pelbagai macam dalil lagi bagi mengukuhkan hentaman mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Abdul Hadi mengakui kepada pemberita di Lobi Parlimen bahawa PN sedang berusaha untuk ‘menjatuhkan’ Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, tindakan itu boleh dilakukan mengikut sistem demokrasi negara dan tiada mana-mana pihak boleh menghalang PN untuk menumbangkan kerajaan.
Abdul Hadi yang pernah menjangkakan kerajaan hari ini akan tumbang tidak lama lagi, keadaan tersebut lazim berlaku dalam politik termasuk melalui undi tidak percaya atau mendapatkan Surat Akuan Berkanun (SD).
“(Sekarang memang ada usaha PN rampas kerajaan?) Ya, itu biasa dalam negara demokrasi, kita berusaha bukan sahaja melalui PRU (Pilihan Raya Umum) tetapi termasuk melalui Parlimen,” katanya.
Mengulas lanjut, Agus menegaskan bahawa dalam sistem demokrasi, pertukaran kerajaan adalah melalui proses pilihan raya.
Menurutnya, semua parti perlu bekerjasama untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat dan negara selepas pilihan raya.
“Nanti pilihan raya akan datang, serahlah semula mandat pada rakyat untuk membuat pilihan. Takkan itu pun tidak faham.
“Teruk sangatkah kerajaan sekarang sehingga perlu diganti?” soalnya sambil menekankan bahawa Kerajaan Perpaduan pada masa ini adalah terbaik untuk Malaysia.
Justeru, Agus berpendapat tindakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur.
“PMX kita selang beberapa hari mengangkat sumpah jawatan mengadakan usul percaya di Parlimen, membina hubungan luar negara yang baik, dan membawa masuk banyak syarikat gergasi seperti Intel Amazon untuk melabur.
“Jika ubah kerajaan, dibimbangi semua pelabur akan tarik keluar pelaburan mereka,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kerajaan gabungan blok Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada masa ini adalah yang terbaik untuk negara.
“Kerajaan ini terbaik kerana tidak ada kontroversi ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan Statut Rom.
“Pemimpinnya tidak terlibat rasuah, tata kelola kerajaannya baik, dan memberi keutamaan kepada membantu rakyat miskin,” ujarnya.
Malah, jelasnya, Kerajaan Perpaduan melakukan yang terbaik dalam menyelesaikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 dengan Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan ini menekankan perpaduan rakyat dengan menolak ekstremisme agama dan kaum, rasisme, penderhakaan terhadap YDPA, menolak penunggang agama dan bangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Agus menasihatkan Abdul Hadi dan penyokong Pas agar cukup-cukuplah berpolitik sebaliknya menghormati titah Agong.
“Jika hendak berpolitik pun,tunggulah PRU ke-16 nanti, biar kerajaan stabil dulu. Buat masa sekarang jadilah oposisi yang konstruktif untuk membangunkan negara.
“Rakyat sedang susah sekarang, mangsa banjir perlukan bantuan, peniaga, usahawan dan kontraktor sedang menghadapi suasana penuh cabaran.
“Hentikan hal-hal yang tidak ada faedah. Biarlah Kerajaan Perpaduan ini kekal untuk menjalankan tugas mereka tanpa diganggu gugat bagi memulihkan negara kita,” tambah Agus lagi.
BACA JUGA Hadi, bapa penggugat kestabilan negara
Â