Bukan calang-calang, ini rupanya latar belakang Shazalli penasihat media PMO
Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri (PMO) secara rasmi mengumumkan Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly dilantik sebagai Penasihat Media dan Komunikasi Strategik PMO.
Pelantikan itu bagi menggantikan Allahyarham Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu.
Namun siapa sebenarnya Shazalli sehingga terpilih menganggotai jawatan paling penting di pejabat Perdana Menteri ini?
Shazalli merupakan Penasihat Media Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sehingga kini.
Pada 2018, akhbar kewangan Edge Malaysia merujuk beliau sebagai “guru imej” Datuk Seri Najib Razak yang “memainkan peranan penting dalam penjenamaan BN semasa PRU14”.
Beliau juga pernah diberi jolokan sebagai “pakar pemulihan” ketika menjadi Pengarah Urusan Boustead dari Disember 2020 hingga Disember 2022.
Gelaran itu diberi Boustead Holdings Bhd (Boustead) iaitu sebuah firma milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)
Shazalli pernah berkhidmat dalam syarikat media hampir dua dekad lalu iaitu pada dari 1998 hingga 2005 dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Eksekutif NTV7.
Kemudian Media Prima milik Umno mengambil alih stesen televisyen berkenaan pada Oktober 2005.
Beliau sememangnya berpengalaman luas, antaranya pernah menjawat jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telekom Malaysia Bhd (TM) serta CEO serantau dan Naib Presiden Eksekutif Korporat Axiata Group Bhd.
Mohammed Shazalli memegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada St. Louis University, Missouri dan Sarjana Muda Sains (Pemasaran) daripada Indiana University Bloomington, kedua-duanya di Amerika Syarikat.
BACA JUGA Mampu jana RM8k sebulan, IPR buka peluang B40 ubah kehidupan
Â