Mat Salleh terkejut lihat budaya lepak di Malaysia, akui paling ‘win’ kalah negara barat

Seorang pelancong asing dari UK mengakui kagum dengan budaya lepak (lepak culture) di Malaysia yang dianggapnya mengalahkan negara barat.

Malaysia dianggap sentiasa menang apabila masuk bab melepak, makanan dan menyesuaikan diri ketika tiba-tiba hujan.

Lelaki yang menggunakan akaun TikTok traveler berkata, Malaysia mempunyai tiga cara mengalahkan negara barat yang membuatkannya kagum.

“Di Malaysia, lepak adalah kehidupan. Anda boleh lepak di mamak untuk berjam-jam lamanya, minum teh tarik, berborak dengan rakan dan tiada siapa yang akan menghalau.

“Sementara kelab malam di UK tutup awal. Mereka akan mengingatkan anda untuk pulang ke rumah ketika jam memasuki 11 malam. Budaya lepak di Malaysia sentiasa menang! (wins everytime),” katanya.

Perkara kedua mengenai kehebatan budaya di Malaysia adalah makanannya yang penuh dengan varieti berbanding makanan di UK yang selalunya lebih ‘boring’ dan berkhasiat.

“Di Malaysia, makanan adalah perkara paling penting. Nasi lemak untuk sarapan pagi, sate untuk makan tengah hari, dan roti canai pada jam 3 pagi.

“Ini adalah maraton penuh dengan kelazatan! Di Australia, makanannya semua berkisar tentang makanan sihat, diet seimbang dan juga avocado. Mereka makan tiga hari sekali. Tapi di Malaysia, tidak terkira,” ujarnya.

Faktor ketiga pula mengenai sikap sempoi rakyat Malaysia ketika waktu hujan.

Lelaki itu mengakui, rakyat Malaysia tidak pernah memeriksa ramalan cuaca kerana mereka sudah tahu bila waktu hujan.

Bahkan ketika hujan turun pada waktu mereka tidak membawa payung, rakyat Malaysia santai duduk di tepi kedai sambil menghirup teh panas.

“Di Malaysia kita tidak perlukan aplikasi ramalan cuaca. Semua orang tahu hampir setiap hari pada pukul 4 petang mesti hujan. Ia bukan isu besar.

“Di New York, hujan baru turun semua orang dah berlari cari tempat berteduh. Mereka akan memeriksa aplikasi cuaca setiap lima minit.

“Tetapi Malaysia pula, mereka akan hirup teh tarik di luar ketika masih hujan, sepertinya ia bukan masalah besar,” katanya lagi.

Videonya tular sehingga ruangan komen dibanjiri ratusan reaksi dari rakyat Malaysia sendiri yang bersetuju dengan dapatan Mat Salleh berkenaan.

Video itu sehingga kini mendapat lebih 34,000 tontonan dengan hampir 2,000 tanda suka.

BACA JUGA Indonesia cadang ikuti jejak langkah Tabung Haji Malaysia

Â